Kes doktor hamil maut: KKM tambah baik pengurusan tekanan, kesihatan mental

Sebelum ini media melaporkan doktor berusia 32 itu ditemui oleh suaminya di rumah mereka sebelum di bawa ke Hospital Sungai Buloh, namun gagal diselamatkan.
Sebelum ini media melaporkan doktor berusia 32 itu ditemui oleh suaminya di rumah mereka sebelum di bawa ke Hospital Sungai Buloh, namun gagal diselamatkan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia menambah baik langkah-langkah sedia ada dalam menangani isu pengurusan tekanan dan kesihatan mental di kalangan warganya.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah sedia ada iaitu kaunseling dan talian HEAL15555 sudah mencukupi.

"Kalau perlu kepada tambah baik, saya pasti kita akan lakukannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Global Association of Clinical Officer and Physician Associates (GACOPA) kali ke-3, dekat sini pada Isnin.

Menurutnya, petugas KKM yang mempunyai masalah perlu mendapatkan bantuan yang disediakan.

"Saya minta mana-mana petugas yang ada masalah emosi dan tekanan mengambil peluang ini," katanya.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku baru-baru ini memberi kesan kepada seluruh warga kementerian.

"Saya harap perkara ini tidak akan berulang lagi," katanya.

Dr Zaliha berkata demikian mengulas mengenai doktor hamil empat bulan yang gagal diselamatkan selepas ditemui di rumahnya, awal bulan ini.

Sementara itu, beliau berkata, KKM komited menangani isu tersebut dengan meletakkan kesihatan mental di tonggak kedua Kertas Putih Kesihatan.

Tonggak kedua adalah mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit.

Sebelum ini media melaporkan doktor berusia 32 itu ditemui oleh suaminya di rumah mereka sebelum di bawa ke Hospital Sungai Buloh, namun gagal diselamatkan.

Pihak polis tidak menolak punca kejadian kemungkinan daripada tekanan perasaan.

ARTIKEL BERKAITANDoktor hamil empat bulan ditemui mati di rumah