HWP tingkatkan prognosis sistem penjagaan kesihatan

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu penjagaan kesihatan sentiasa menjadi antara kebimbangan utama isi rumah terutama apabila musibah menimpa pencari nafkah atau warga emas yang dikasihi menghidap penyakit tidak berjangkit atau penyakit kronik.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, antara keutamaan kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat ialah memastikan penjagaan kesihatan boleh diakses dan saksama oleh semua rakyat terutama golongan rentan serta individu yang telah kehilangan haknya.

Justeru, beliau berkata, Kertas Putih Kesihatan (HWP) adalah perlu untuk menangani isu struktur bagi meningkatkan prognosis keseluruhan sistem penjagaan kesihatan negara.

"Saya tidak pernah beranggapan bahawa penyediaan penjagaan kesihatan berkualiti dan berpatutan kepada semua rakyat Malaysia secara lestari boleh dilakukan melalui pendekatan sedikit demi sedikit. Di sinilah HWP meneliti pembaharuan sistematik dan struktur kepada penjagaan kesihatan kita bagi tempoh 15 tahun akan datang.

"Apabila dibentangkan di Parlimen bulan lepas, Alhamdulillah, ia diterima secara positif serta diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Tahap minat yang tinggi oleh rakan-rakan Ahli Parlimen saya mencerminkan bahawa kepentingan isu itu merentasi spektrum politik,” menurutnya dalam satu artikel pada Rabu.

Dr Zaliha berkata, meskipun kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini telah memperkenal Skim Perubatan Madani (SPM), kementerian itu sedar bahawa pelan yang boleh dilaksana dan realistik diperlukan bagi menangani kelemahan sistematik serta memanfaatkan kekuatan sedia ada di seluruh landskap penjagaan kesihatan.

"Program seperti SPM bukan sahaja mengetengahkan keutamaan kita tetapi juga menjadi peringatan mengenai halangan yang wujud bagi sesetengah orang awam dalam mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan yang sewajarnya.

"Ketika kita berusaha merapatkan kesemua jurang ini, kita juga perlu sedar bahawa tiada jalan pintas dan kemajuan akan terhasil dengan bekerjasama serta bukan dengan bercakaran sesama sendiri,” katanya.

Justeru, beliau mengalu-alukan sebarang idea atau cadangan yang akan membantu memenuhi visi HWP dan kerajaan Madani.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau, Dr Zaliha berkata, KKM telah mengenal pasti sejumlah 436 klinik daif di seluruh negara yang memerlukan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf tahun ini.

Beliau berkata, KKM juga menyasarkan untuk membaik pulih 1,200 klinik dan fasiliti daif melalui tiga fasa hingga tahun 2025. - Bernama