Bila penasihat dianggap derhaka

A
A
A

DALAM Islam kita semua dibenarkan dan digalakkan memberi nasihat tentang nilai kehidupan terutamanya yang bersabit agama Islam.

Dalam sistem demokrasi, seorang rakyat boleh memberi nasihat secara baik dan beradab kepada pemimpin yang dilantik seperti perdana menteri dan menteri.

Dalam sistem itu juga, rakyat boleh memberi nasihat kepada pegawai tinggi penjawat awam sebab mereka semua walau besar banyak mana pun gaji mereka, masih tetap mereka ini ‘orang gaji’ waima kepada penjual goreng pisang warganegara Malaysia.

Demokrasi seperti juga Islam memberi suatu dignity atau suatu kehormatan kepada rakyat jelata menjadi ‘penasihat’ kepada barisan pimpinan negara.

Dalam hal itu bolehkah seseorang rakyat itu dianggap ‘penderhaka’ atau pengkhianat jika ia memberi nasihat yang jelas, bersandarkan sunnah dan menyusun kata dengan beradab tanpa maki-hamun atau jerit pekik?

Kalau ia dianggap penderhaka atau pengkhianat maka runtuhlah sistem demokrasi dan sistem Islam yang kita kenal.

Mari kita lihat hidup Rasulullah dan para sahabat sendiri. Jika Rasulullah seorang yang angkuh dan tidak ingin menerima nasihat maka Islam telah pun tersungkur dan mungkin terkubur tanpa batu nisan dalam Perang Badar.

Ketika itu seorang Badwi menemui Rasulullah dan dengan penuh beradab bertanya sama ada tempat bertahan yang dipilih adakah ia wahyu atau pandangan Rasul. Beliau menambah jika wahyu, maka mereka akan kekal berjuang di situ tetapi jika ia pandangan Rasul maka lebih baik dipilih tempat yang lebih strategik.

Artikel Berkaitan:

Nasib baiklah Rasulullah bersifat tawaduk dan mengatakan ia pandangan sahaja maka baginda menerima nasihat lalu mengubah posisi tentera dan mungkin kerana itu peperangan dimenangi umat Islam.

Seketika lain, pada awal Islam, ALLAH menegur dan menasihati Rasulullah dalam surah Abasa. Sedang Rasulullah berbicara dengan ketua-ketua Quraish di Makkah, datanglah seorang buta memohon ajaran daripada Baginda.

Rasulullah kurang senang dengan tindakan si buta dan baginda mengalih tubuhnya membelakangkan si buta.

Perbuatan itu terus ditegur oleh ALLAH dengan memberi maksud bahawa jangan berpaling daripada orang yang ikhlas mencari ilmu dan petunjuk daripada menghadap mereka yang sombong dan angkuh tidak mahu menerima ilmu.

Sejak itu, sejarah merakamkan Rasulullah sentiasa memberi laluan kepada yang lemah dan jelata daripada orang besar.

Suatu kisah daripada seorang ketua Arab bahawa beliau menemui Rasulullah untuk berbincang dan setibanya di tempat mesyuarat beliau disambut mesra oleh Baginda. Tetapi sedang mereka berbicara, seorang wanita tua mencelah untuk memohon sesuatu.

Rasulullah menghentikan perbincangan dengan ketua-ketua kabilah dan mendengar rintihan si tua. Arab itu tersentuh hati dengan mengatakan Rasulullah bukan seorang raja kerana tiada raja yang beliau tahu berbuat sedemikian. Baginya itu perbuatan seorang Rasul.

Selagi kita dinamakan manusia, tiada siapa yang boleh mendabik dada kata dia sempurna. Lihat sajalah Abu Bakar apabila beliau dinasihati oleh Umar tentang mengumpul al-Quran sebagai tulisan.

Pada mulanya beliau enggan kerana tidak pernah diarah Rasul sebelum wafat.

Tetapi rasional Umar bahawa semakin ramai para hafiz syahid dalam peperangan atau di hari tua, maka dikhuatiri ilmu al-Quran ditelan masa. Akhirnya Abu Bakar bersetuju dan kini kita dapat melihat salah satu dokumen sahih dalam sejarah manusia setelah 1,400 tahun berlalu.

Apa akan terjadi pada manusia yang dirasanya tidak perlu dinasihati oleh orang biasa? Manusia yang tidak mahu dinasihati akan sentiasa melakukan kesilapan atau dosa dan tidak akan berubah.

Di mahkamah akhirat nanti kita semua akan disoal dan kalau kita tidak mengambil tindakan untuk membetulkan diri kita di dalam dunia sewaktu hayat masih ada, apakah nasib kita di akhirat nanti?

* Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi ialah Pensyarah UCSI University, Kampus Cheras, Kuala Lumpur