Demokrasi 'muwajahah silmiah' tidak lagi dihayati - Khalid

Khalid ketika Wacana Sinar siri ke-409 bertajuk: Pelan Berdamai: Realiti atau Mimpi politik yang dihoskan oleh Ismail Adnan. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Khalid ketika Wacana Sinar siri ke-409 bertajuk: Pelan Berdamai: Realiti atau Mimpi politik yang dihoskan oleh Ismail Adnan. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Konsep sistem demokrasi melalui 'muwajahah silmiah' iaitu pertembungan secara damai tidak lagi dihayati, sebaliknya ahli politik lebih mementingkan kuasa sehingga sanggup menjatuhkan pentadbiran kerajaan tanpa memikirkan kesan buruk terhadap rakyat.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, impak kerakusan kuasa itu ketara ketika langkah Sheraton dilaksanakan sekali gus menyebabkan pengaruh buruk tersebut 'melarat' sehingga kini.

Menurutnya, meskipun usaha dan prestasi kerajaan semakin baik dan stabil, ia tidak membawa apa-apa makna dan relevan kepada pihak terbabit kerana kepentingan kuasa melebihi segalanya termasuk rakyat dan negara.

"Sebagai contoh di Selangor, antara kerajaan yang menunjukkan prestasi yang sangat baik dan paling maju selain kadar kemiskinan rendah serta pelbagai pakej disediakan oleh kerajaan untuk rakyat.

"Tetapi dalam keadaan itu sekali pun usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri dan merampas kuasa itu tidak berhujah atas persoalan prestasi atau apa yang telah dilaksanakan sebaliknya lebih dari sudut emosi dan sentimen kononnya Islam terancam.

"Jadi pendekatan begini memang menghasilkan satu penentangan yang agak meruncing sekali gus menjadikan politik di Malaysia lebih kepada kuasa tanpa memikirkan tanggungjawab untuk membangunkan negara," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar siri ke-409 bertajuk: Pelan Berdamai: Realiti atau Mimpi politik yang dihoskan oleh Ismail Adnan.

Turut menampilkan panel iaitu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Mohd Abdullah; Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros dan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzri Helmi Azhar.

Artikel Berkaitan:

Tambah Khalid, berikutan tindakan berkenaan kerajaan yang memerintah dilihat sengaja diganggu sehingga menyebabkan prestasi tergugat dan ketidakstabilan politik berlaku.

Ujarnya, taktik itu secara tidak langsung membuatkan pelabur tidak berminat untuk datang ke Malaysia maka usaha untuk membangunkan negara tidak akan tercapai seperti yang ditetapkan.

"Tetapi, matlamat mahu menjatuhkan negara itu tercapai.

"Sepatutnya dalam sistem demokrasi yang mana kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama untuk kepentingan negara.

"(Pembangkang) memainkan peranan semak dan imbang bukan untuk menjatuhkan kerajaan kerana tindakan ini hanya melalui pilihan raya dan sistem politik yang matang dan bukan dengan cara sabotaj atau khianat," katanya.