ILN sokong idea kebebasan agama, politik dalam konteks Islam

Ali Salman
Ali Salman
A
A
A

SHAH ALAM - Islam and Liberty Network (ILN) menggariskan lima objektif utama yang ingin dicapai sewaktu persidangan ke-10 yang bakal berlangsung pada 5 dan 6 September di Malaysia.

Antaranya, mengemukakan hujah yang menyokong idea dan institusi untuk kebebasan beragama, politik dan ekonomi dalam kontur akidah Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif ILN, Ali Salman berkata, kebebasan individu perlu dimanifestasikan bukan sahaja dalam ekonomi tetapi politik dan agama.

“Kebebasan individu ini dianjurkan oleh norma sosial dan undang-undang iman yang merupakan tonggak umum kehidupan orang ramai.

“Dalam kekangan ini, masyarakat demokratik telah menawarkan rakyat untuk membuat pilihan dalam memilih kerajaan, pasaran bebas membenarkan perusahaan swasta berkembang dan institusi keagamaan yang membolehkan kebebasan beragama,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Ali berkata, menerusi persidangan tersebut juga, pihaknya ingin memberi peluang kepada penyelidik dan ahli akademik untuk menilai halangan semasa dan sejarah terhadap keamanan dan kemakmuran di negara majoriti Islam.

Tambah beliau lagi, matlamat persidangan juga mahu menonjolkan cabaran tadbir urus yang dihadapi oleh sistem politik dan ekonomi terutamanya di negara majoriti Islam, membentangkan pelan hala tuju serta cadangan dasar kepada kepimpinan di Malaysia juga negara majoriti Islam lain.

“Bukan itu sahaja, kita juga mahu perjumpaan ini dapat menyediakan rangkaian dan peluang kerjasama untuk sarjana, penyelidik dan badan pemikir,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Ali menjelaskan pemilihan tema ‘Keamanan dan Kesejahteraan’ adalah kerana mahu menghentikan segala tanggapan negatif dan memperbaiki semula persepsi terhadap masyarakat muslim.

Menurut beliau, kebelakangan ini konteks global masyarakat Muslim sering dikaitkan dengan masalah pembangunan ekonomi dan kemiskinan.

Justeru, pihaknya mengadakan persidangan itu di Malaysia kerana ia menunjukkan sebuah negara yang aman, inklusif dan maju dari segi ekonomi.

Ali berkata, persidangan itu juga menampilkan ucaptama dan perbincangan panel juga akan dipengerusikan oleh cendekiawan terkemuka Malaysia.

“Sebanyak 125 perwakilan dijangka akan terlibat dan berkumpul selama dua hari. Persidangan itu juga akan disiarkan melalui media sosial untuk memaksimumkan kehadiran dan penyertaan di peringkat global,” ujarnya.