9 ADUN Bersatu Perak tandatangan Surat Arahan MPT

(Dari kiri) Mohader Ahmad menyerahkan Surat Arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) daripada sembilan ADUN daripada Bersatu kepada Hamzah. FOTO:FACEBOOK HAMZAH
(Dari kiri) Mohader Ahmad menyerahkan Surat Arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) daripada sembilan ADUN daripada Bersatu kepada Hamzah. FOTO:FACEBOOK HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menandatangani Surat Arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, surat tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Badan Pimpinan Negeri Perak, Mohader Ahmad Mohammad Ayob.

“Alhamdulillah sembilan ADUN Perak daripada Bersatu telah menandatangani Surat Arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

"Surat ini telah diserahkan oleh Timbalan Badan Pimpinan Negeri Perak yang juga Ketua Bahagian Batu Gajah, Mohader Ahmad kepada saya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal telah menandatangani Surat Arahan MPT bagi mematuhi pindaan perlembagaan parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang itu berkata, surat arahan tersebut adalah untuk menghalang mana-mana ahli daripada menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu meluluskan pindaan perlembagaan parti itu berhubung perlucutan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan ADUN serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak yang bertentangan dengan parti atau musuh.

Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!