Mangsa fitnah boleh ambil tindakan

Latheefa Koya
Latheefa Koya
A
A
A

PUTRAJAYA - Orang ramai yang membuat laporan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terhadap pengadu sekiranya pihak yang dituduh itu mendakwa mereka telah difitnah.

Beliau berkata demikian merujuk kepada trend sesetengah pihak yang sengaja membuat laporan kepada SPRM dengan niat mendedahkan laporan palsu kepada umum.

“Beliau (pihak yang difitnah) boleh mengambil tindakan undang-undang atau buat laporan terhadap pengadu kerana membuat laporan palsu. Jadi kita akan lakukan siasatan.

“Sekiranya laporan itu benar tetapi pengadu beritahu kepada umum, masalah yang timbul ialah ia mengganggu proses siasatan dan orang yang kita ingin ambil tindakan itu boleh terlepas,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Katanya, terdapat seksyen di bawah Akta SPRM yang tidak membenarkan pengadu memaklumkan kepada pihak media apa yang diberitahu kepada SPRM.

Beliau turut mengingatkan pemimpin dan ahli politik agar tidak menjadikan SPRM sebagai medium publisiti demi kepentingan pihak tertentu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, budaya menghantar memorandum bagi tujuan mendapatkan laporan media bukan kaedah yang betul untuk membuat aduan berhubung salah laku atau rasuah.

“Kita lihat dalam media (surat khabar dan portal) ada yang menghantar memorandum (kepada SPRM) dan bergambar (di hadapan pejabat SPRM) untuk menunjukkan mereka buat aduan.

“Jika benar serius mahu banteras rasuah dan ingin SPRM siasat dan tangkap, mereka diingatkan tidak mendedahkan maklumat atau bukti kerana apabila disiarkan oleh pihak media ia akan mengganggu proses siasatan dan tertuduh mungkin dapat hapus bukti,” katanya.