Hamilton hampiri rekod Schumacher

Hamilton diraikan puluhan ribu penyokong sendiri selepas menjuarai GP British buat kali keenam. Foto PA
Hamilton diraikan puluhan ribu penyokong sendiri selepas menjuarai GP British buat kali keenam. Foto PA
A
A
A

PELUMBA sensasi Mercedes, Lewis Hamilton kini semakin hampir untuk menyamai rekod legenda Formula 1 (F1), Michael Schumacher apabila menjuarai perlumbaan Grand Prix British kelmarin.

Kejayaan itu mengukir catatan kemenangan ke-80 dalam karier pelumba berusia 34 tahun itu dan hanya dibezakan 11 kemenangan sahaja lagi untuk menyamai rekod Schumacher yang sebelum ini mencipta 91 kemenangan di perlumbaan F1.

"Ia menakjubkan (menghampiri rekod Schumacher). Tetapi saya tidak suka melihat kepada statistik. Saya hanya mahu fokus dalam satu ke satu perlawanan sahaja.

"Kecuali jika saya sudah bersara, mungkin waktu itu saya akan melihat kembali berapa kemenangan yang berjaya saya raih," kata Hamilton.

Lebih manis, kejayaan di Litar Silverstone itu juga menjadi kemenangan keenam Hamilton di gelanggang sendiri, sejak kali pertama meraih kejayaan di sana pada 2008.

Ditanya apa makna kejayaan di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, anak jati Stevenage, United Kingdom ini berkata, ia merupakan momen indah yang akan diingati oleh mana-mana atlet sekalipun.

"Ini merupakan kemenangan terbaik yang akan saya ingati. Bukan mudah untuk seorang atlet di dunia ini melihat momen indah seperti ini. Anda dapat meraikannya dengan penyokong anda sendiri.

"Ia satu perasaan hebat dan terlalu istimewa untuk dimiliki mana-mana atlet. Ia juga menggambarkan anda sudah menjalankan tanggungjawab anda apabila berjaya meraih kejuaraan di negara sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Saya masih ingat lagi kemenangan pertama saya di sini pada 2008. Pada waktu itu perasaannya sukar digambarkan dengan sorakan padu semua yang menyaksikannya. Hari ini, suasana itu masih lagi sama seperti 11 tahun lalu. Ia masih indah," katanya lagi.