Laos siap sedia Taufan Talim semakin hampir

Ombak besar menghempas pantai ketika Taufan Talim menghampiri di Boao,di wilayah Hainan selatan China pada Isnin - Foto: AFP
Ombak besar menghempas pantai ketika Taufan Talim menghampiri di Boao,di wilayah Hainan selatan China pada Isnin - Foto: AFP
A
A
A

VIENTIANE - Orang ramai di Laos digesa bersiap sedia menghadapi potensi kesan Taufan Talim yang akan melintasi negara itu sehingga Selasa, membawa hujan lebat dan angin kencang di wilayah tengah dan selatan Laos, lapor Xinhua.

Jabatan Meteorologi dan Hidrologi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Laos pada Isnin mengeluarkan amaran menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu untuk melindungi kediaman dan harta benda.

Setakat pagi Isnin, Taufan Talim menghampiri wilayah pulau Hainan di selatan China pada kelajuan 130 kilometer (km) sejam dan diunjurkan meneruskan haluannya ke arah barat dan membadai utara Vietnam pada Selasa.

Semasa taufan merentasi Laos, kawasan tengah dan selatannya, termasuk wilayah Bolikhamxay, Khammouane, Savannakhet, Champasak, Saravan, Sekong dan Attapeu, dijangka berlaku angin monsun kencang serta ribut petir, kilat dan hujan lebat.

Biro cuaca Laos juga memberi amaran kepada orang ramai di seluruh negara untuk sentiasa mengemas kini nasihat cuaca terkini dan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan selain melindungi harta benda mereka.

Sementara itu, Vietnam memindahkan kira-kira 9,000 penduduk setakat 7 pagi Selasa sebelum ribut kuat melanda negara itu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Talim, ribut pertama melanda Vietnam tahun ini, berada pada kedudukan kira-kira 140kilometer timur-tenggara Mong Cai, wilayah utara Quang Ninh, dengan kelajuan 89-117 km sejam setakat 4 pagi Selasa, menurut Pusat Hidro-Meteorologi Nasional.

Agensi itu meramalkan sekitar 4 pagi Rabu, ribut akan bergerak ke arah barat-barat laut pada kelajuan kira-kira 20-25 km sejam sebelum beransur-ansur melemah.

Ibu kota Hanoi pula dijangka mengalami hujan sederhana dan lebat, dengan ribut petir melanda beberapa kawasan. - Bernama