Isytihar harta bukti komitmen kerajaan perangi rasuah

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah). -Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah). -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan mewajibkan semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing menunjukkan komitmen kerajaan menangani rasuah dan meningkatkan integriti dalam urus tadbir dan tatakelola pentadbiran negara.

Di samping itu, langkah berkenaan akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) membanteras gejala rasuah, seperti yang dijanjikannya kepada rakyat dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

Penganalisis politik tempatan berpendapat usaha berterusan ini perlu dilaksanakan bagi mewujudkan ekosistem budaya integriti dan bebas rasuah agar Malaysia setanding negara maju lain dalam memperjuangkan nilai integriti.

Profesor di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zaid Ahmad berkata, mereka yang berada pada kedudukan yang terdedah kepada isu integriti perlu memperlihatkan ketelusan dalam menjalankan amanah rakyat khususnya dalam kalangan ahli politik.

"Saya rasa, ia juga wajar diperluaskan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana fungsi dan peranan mereka sama sahaja seperti ahli parlimen, cuma pada skala yang lebih kecil.

"Namun demikian, ini cuma satu usaha dan tiada jaminan bahawa rasuah akan terhapus kerana masalah rasuah tidak hanya berkait pada satu faktor. Tetapi ia adalah satu ekosistem,” katanya kepada Bernama.

Dewan Rakyat pada 1 Julai lepas sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing, dengan semua ahli Parlimen perlu mengisytiharkan harta masing-masing selain isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam akuan berkanun.

Akuan berkanun terbabit kemudiannya perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh usul itu dipersetujui dan salinannya kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel Berkaitan:

Senarai nama ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta akan dipaparkan dalam portal SPRM dan hanya butiran pengisytiharan harta sahaja yang akan dipaparkan di portal berkenaan selama tempoh tiga bulan daripada tarikh penerimaan akuan berkanun oleh SPRM.

Ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

Jika ahli Parlimen didapati membuat perakuan tidak benar, individu itu tertakluk kepada Seksyen 3 Akta 783 dan Seksyen 199 Kanun Keseksaan, yang jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Mengenai isu yang sama, geostrategis dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan berkata pengisytiharan harta oleh ahli politik bukan satu perkara yang pelik kerana ia diamalkan di negara maju sama ada secara perundangan atau sukerela.

"Saya menilai langkah kerajaan adalah murni kerana dengan kaedah ini maka kekangan telah diletakkan demi menyukarkan ahli politik peroleh kekayaan melalui cara tidak sah. Ini adalah kerana ahli politik terutama sekali mereka yang berjawatan sentiasa berhadapan dengan risiko disogok rasuah.

"Tetapi perlu ditekankan kaedah ini tidak boleh dianggap sebagai kaedah yang tidak boleh dimanipulasi kerana bagi kumpulan yang mengamalkan rasuah akan mencari cara untuk melepasi kekangan isytihar harta ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak agar berhati-hati dengan pelaksanaan pengisytiharan harta ini bagi mengelakkan disalah guna oleh pihak tertentu sebagai senjata politik yakni untuk menghapus lawan di arena politik.

Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr. Sivamurugan Pandian berkata, langkah kerajaan ini adalah wajar memandangkan ia juga akan membantu pemimpin daripada terperangkap dalam permainan persepsi atau usaha mengaibkan mereka sebagai seorang pembesar politik.

"Cadangan ini penting dan perlu dipersetujui bersama melangkaui kepentingan politik. Ia wajar merentasi kesemua lapisan kepimpinan termasuk ADUN. Malahan fasa-fasa tertentu boleh dikenalpasti untuk mempamer keseriusan pihak berwajib menjadikan ia satu amalan berhemah,” katanya.

Nada yang sama dizahirkan Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani yang menyifatkan langkah kerajaan ini dapat mengelakkan berlakunya rasuah dan ketirisan.

"Kita masih belum ada undang-undang pembiayaan politik. Langkah awal pengisytiharan harta ini perlu dalam memberi jaminan ketelusan dalam pentadbiran negara. Sekiranya langkah ke atas ahli parlimen ini berjaya, baik juga diteruskan kepada ADUN pula,” tambahnya. -Bernama