Penubuhan KRPPM-IGAR bukti kesungguhan negara tangani rasuah

 Dr Awang Sariyan
Dr Awang Sariyan
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) - Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) membuktikan kesungguhan negara untuk memerangi rasuah tanpa mengira ideologi atau parti politik.

Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, penglibatan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam kumpulan ini jelas menunjukkan semua pihak mahu menghapuskan gejala tidak sihat itu.

"Kumpulan ini (KRPPM-IGAR) penting dalam konteks satu lonjakan untuk memberi kesedaran bukti komitmen ahli-ahli Parlimen sama ada parti pembangkang atau kerajaan sebagai pengimbang.

"Bagi saya ini satu komitmen yang sangat baik tanpa mengira ideologi atau parti tetapi memikirkan apa yang lebih penting untuk 'kesihatan' negara iaitu integriti, tata kelola terutamanya rasuah itu mesti dihapuskan sebagai jihad kepada rakyat.

"Jadi saya melihat ini (KRPPM-IGAR) satu permulaan yang baik kerana sudah ada komitmen bersama tidak kira pembangkang atau kerajaan tetapi semuanya dengan niat yang satu iaitu untuk kebaikan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media KRPPM-IGAR bertempat di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Pada 4 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan penubuhan KRPPM-IGAR bagi mempertingkatkan integriti, tadbir urus, serta pencegahan rasuah.

Antara tumpuan pelaksanaan kumpulan yang dipengerusikan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh itu adalah reformasi institusi merangkumi pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, pemisahan peranan peguam negara daripada fungsi pendakwa raya, penggubalan akta perolehan kerajaan dan akta pendanaan politik, reformasi Parlimen dan implementasi penuh Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).

Mengulas lanjut, Awang berkata, kumpulan yang ditubuhkan ini perlu mempunyai tindakan atau gerakan dan tidak hanya bercakap bercakap semata-mata.

"Jadi, atas sebab itulah mesti ada semak dan imbang kepada kumpulan ini supaya semua pihak dapat mengenai sama ada ia benar-benar berfungsi sebagai mana yang diharapkan," katanya.