'MP kerajaan, pembangkang bersungguh perangi rasuah'

Syed Hamid Albar ketika program Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf pada Selasa.
Syed Hamid Albar ketika program Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) bertempat di Kumpulan Karangkraf pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas menteri kabinet, Tan Sri Syed Hamid Albar menyifatkan penubuhan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR) sebagai suatu yang positif dan membawa makna yang signifikan dalam usaha ke arah menjadikan Malaysia Tanpa Rasuah.

Menurut beliau, buat pertama kali wujud kesungguhan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk duduk semeja, berbincang bagi menjayakan agenda memerangi rasuah sekali gus dilihat mampu membawa perubahan yang baik kepada negara.

“Alhamdulillah, pertama kali saya melihat... Saya pernah menjadi ahli Parlimen dan menteri, jadi pada hari ini saya melihat kesungguhan mereka (ahli politik kerajaan dan pembangkang) sekurang-kurangnya daripada kata-kata untuk (perangi rasuah).

“Kita telah bergerak ke arah penyertaan demokrasi dengan penubuhan KRPPM, tetapi yang paling mustahak mereka ini kena laksanakan apa yang mereka katakan (usaha lawan rasuah),” katanya pada sidang media KRPPM - IGAR bertempat di Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Sidang media ini menampilkan Pengerusi KRPPM - IGAR, Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai; Pakar Ekonomi dan Politik, Dr Edmund Terence Gomez dan Pengasas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel; Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan wakil Rasuah Busters dan Sekretariat KRPPM - IGAR, Nurhayati Nordin.

Tambah beliau, perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik juga dituntut kerana rakyat kini sedang memerhatikan apa yang akan dilaksanakan oleh KRPPM-IGAR selepas ini.

“Rakyat akan menilai berasaskan janji yang telah kita nyatakan,” katanya.

Penubuhan KRPPM - IGAR amat perlu dan penting pada masa ini dan diharap menjadi platform penelitian awam yang meluas.

Di samping itu, penggemblengan usaha pelbagai pihak daripada segenap penjuru dijangka mampu melahirkan sebuah sistem kawalan integriti dan tadbir urus sistematik yang berkesan serta berdaya saing.

Pembentukan KRPPM - IGAR diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 April 2023.

Ia dicadangkan bagi membina sinergi dan struktur yang lebih bersepadu dengan penglibatan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, pakar-pakar serta masyarakat sivil bagi memastikan sistem perundangan, pembuatan dasar dan kempen kesedaran di peringkat akar umbi dapat dijalinkan demi keberhasilan optimum penolakan terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa secara menyeluruh.