Najib gesa jaminan kerajaan diberikan bagi pinjaman SRC International

Najib. - FOTO ZAHID IZZANI
Najib. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi pendakwaan ke-43 perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini semalam, beliau menerima tekanan supaya segera menyediakan Memo Jemaah Menteri (MJM).

Ia berhubung jaminan kerajaan (GG) terhadap pinjaman yang dibuat oleh syarikat SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) berjumlah RM2 bilion.

Bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman Persaraan Kewangan dan Aktuari, Kementerian Kewangan Malaysia (BPKA), Maliami Hamad berkata, MJM itu perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2011.

Menurut Maliami, 65, arahan penyediaan MJM itu bukan sahaja datang daripada SRC tetapi juga daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz yang turut menerima arahan daripada Perdana Menteri (Najib).

"Saya turut menerima arahan sama daripada Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias," katanya ketika membacakan kenyataan saksi pada perbicaraan hari ke-33.

Menurutnya, beliau menerima arahan secara lisan untuk memastikan MJM berkaitan disediakan dengan segera untuk mendapatkan kelulusan jemaah menteri pada minggu yang sama.

"Semua arahan dan tekanan yang saya terima daripada semua pihak berkaitan telah saya turunkan kepada pegawai bawahan saya.

“Draf MJM yang disediakan ditandatangani Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan dikemukakan kepada Bahagian Kabinet JPM pada hari yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selepas MJM dilengkapkan, draf ditandatangani kepada Nor Mohamed pada hari yang sama dan dibawa ke Bahagian Kabinet JPM untuk dibentangkan kepada mesyuarat Jemaah Menteri lalu diluluskan pada 17 Ogos 2011.

Maliami sebelum itu memaklumkan beliau telah didatangi wakil syarikat tersebut bagi membincangkan mengenai keperluan segera jaminan kerajaan diberikan atas pembiayaan berkenaan untuk tujuan pelaburan.

"Satu mesyuarat diadakan di mana SRC yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Nik Faisal Ariff Kamal memaklumkan hasrat mereka untuk mendapatkan GG bagi pinjaman berjumlah RM2 bilion bagi tujuan 'general investment and working capital requirements' sebelum menerima surat rasmi daripada mereka,” katanya.

Seterusnya menurut Maliami, MOF memaklumkan Jemaah Menteri telah meluluskan permohonan SRC sebelum syarikat itu diminta menyediakan draf perjanjian pinjaman antara SRC dan KWAP untuk disemak oleh Bahagian Undang-undang MOF lalu ditandatangani Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Sementara itu menurut Maliami SRC sekali lagi datang ke MOF bagi memohon GG kedua pada 27 Januari 2012.

"Satu mesyuarat diadakan dan saya dimaklumkan mereka (SRC) berhasrat mendapatkan GG untuk pinjaman berjumlah RM2 bilion lagi untuk tujuan 'expansion of business scope in general investment and working capital'.

“Saya mengarahkan pegawai saya menyediakan draf memo iringan kepada Perdana Menteri melalui Menteri Kewangan kedua untuk mengangkat MJM supaya dipertimbang Jemaah Menteri," katanya.

Jelasnya Memo iringan dalam dan MJM memaklumkan SRC mempunyai hutang RM2 bilion dan pinjaman tambahan sebanyak RM2 bilion menjadikan hutang SRC dijamin kerajaan meningkat kepada RM4 bilion.

“Setelah draf memo iringan dan MJM siap dan diluluskan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri melalui Menteri Kewangan Kedua.

“MJM telah disokong menteri itu memandangkan isi kandungannya telah dibincangkan oleh Tan Sri Nor dengan pegawai MOF. Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan telah menurunkan tandatangan ke atas MJM pada 3 Februari 2012," jelasnya.

Menurut Maliami, tidak seperti prosedur biasa MOF, mana-mana MJM, dipertimbang dan ditandatangani Menteri Kewangan Kedua sebaliknya MJM tersebut diangkat terus kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan untuk pertimbangan dan tandatangan.

Perbicaraan dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali disambung esok. - Bernama