Tun M mohon mahkamah arah Anwar kemuka dokumen

Dr Mahathir memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan Anwar mengemukakan dokumen pernyataan pembelaan beliau dalam kes saman fitnah yang sedang berjalan. (Gambar Kecil - Muhammad Rafique)
Dr Mahathir memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan Anwar mengemukakan dokumen pernyataan pembelaan beliau dalam kes saman fitnah yang sedang berjalan. (Gambar Kecil - Muhammad Rafique)
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen pernyataan pembelaan beliau dalam kes saman fitnah yang sedang berjalan.

Peguam bekas Ahli Parlimen Langkawi, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, permohonan itu dikenali sebagai penzahiran dokumen dan telah difailkan pada Khamis.

Muhammad Rafique Rashid Ali
Muhammad Rafique Rashid Ali

“Dokumen itu berkaitan Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) oleh Petronas dan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC).

"Seterusnya, kontrak oleh Telekom Malaysia Bhd kepada Opcom Cables Sdn Bhd, lesen fabrikasi oleh Petronas kepada Kencana Petroleum Bhd dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir diminta agar tidak mengelak daripada 'kenyataan sebenar' berhubung aset yang dimiliki beliau dan keluarganya.

Anwar mendakwa, umum sememangnya mengetahui kekayaan yang dimiliki bekas Perdana Menteri itu.

Permohonan itu juga difailkan bekas Ahli Parlimen Langkawi tersebut kerana Anwar telah menyatakan akan menunjukkan bukti, namun apabila dituntut sedemikian sehingga kini tiada dokumen dipaparkan.

Muhammad Rafique turut memaklumkan, kenyataan Ahli Parlimen Tambun itu seolah-olah menyimpulkan bahawa Dr Mahathir telah menyalah guna kuasa semasa pentadbiran sebagai Perdana Menteri.

Beliau memberitahu, Pesuruhjaya Kehakiman, Zaharah Hussain telah mengarahkan Anwar memfailkan afidavit jawapan kepada permohonan tersebut pada 11 Ogos.

“Kita pula diberi peluang untuk membalas kepada afidavit jawapan itu pada 25 Ogos nanti dan kedua-dua pihak perlu memfailkan hujahan pada 8 dan 22 September depan.

“Selepas itu, mahkamah akan membuat keputusan mengenai permohonan Dr Mahathir pada 2 Oktober dpan,” ujarnya.