Perbicaraan kes Lokman Adam September depan

Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, menetapkan perbicaraan kes Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam atas dua pertuduhan membuat komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan bermula September depan.

Hakim, N Priscilla Hemamalini memutuskan prosiding berlangsung selama 10 hari iaitu 5, 6, 7, 11 dan 18 September manakala Oktober pada 9,10,11, 23 serta 24.

Semasa prosiding, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh berkata, dalam perbicaraan kelak, pendakwaan akan memanggil 10 saksi untuk memberi keterangan.

“Kami ingin dimaklumkan, pihak pembelaan telah memfailkan representasi dan pada tarikh sebutan seterusnya, kita akan menyerahkan penyataan saksi-saksi tersebut,” katanya ketika prosiding sebutan kes.

Sementara itu, peguam Logen Eskander yang mewakili Lokman memaklumkan tiada bantahan terhadap tarikh-tarikh perbicaraan itu.

“Bagaimanapun, kami memohon kehadiran Lokman dikecualikan dalam sebutan kes,” katanya.

Hakim kemudiannya membenarkan pengecualian kehadiran pada sebutan kes yang ditetapkan pada 1 Ogos depan.

Pada 1 September tahun lalu, Lokman, 50 selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook atas nama profil ‘Lokman Noor Adam Official’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Bagi pertuduhan pertama membabitkan bekas Perdana Menteri, dia dituduh melakukan perbuatan itu pada jam 11.16 malam, 20 Ogos 2022.

Hantaran itu kemudiannya dibaca di Mutiara Villa Jalan Tung Shin, Bukit Bintang, di sini, pada jam 8.15 pagi, 24 Ogos 2022.

Bagi pertuduhan kedua, Lokman dituduh melakukan perbuatan sama terhadap kerajaan pada 10.28 malam, 22 Ogos 2022 dan pautan itu kemudian dibaca di sebuah restoran di Jalan Sentul di sini, jam 11.30 pagi, 23 Ogos 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.