Kaut RM30,000 bawa masuk PATI

Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi awal pagi semalam.
Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi awal pagi semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - RM900 hingga RM1,000 itu bayaran yang dikenakan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi membolehkan mereka masuk atau keluar secara haram dari negara ini.

Itu modus operandi didalangi warga tempatan yang mengaut keuntungan antara RM27,000 dan RM30,000 bagi setiap perjalanan membawa masuk atau keluar warga asing secara haram.

Perbuatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket penyeludupan PATI dan menahan 30 warga Indonesia termasuk dua kanak-kanak perempuan serta tiga warga Thailand awal pagi semalam.

Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan bertindak sebagai perantara dan penjaga rumah transit digunakan sebagai lokasi persembunyian warga asing yang akan masuk atau keluar dari negara ini yang menggunakan laluan tidak diwartakan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi di dua lokasi di Sekinchan dan Shah Alam awal pagi semalam hasil risikan selama dua bulan bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Menurutnya, kedua-dua lokasi diserbu dikenal pasti sebagai rumah transit menyimpan warga asing yang masuk atau keluar dari negara ini secara tidak sah.

Beliau berkata, lelaki warga tempatan ditahan merupakan suami kepada seorang wanita warga Indonesia yang bertindak sebagai perantara dan penjaga di tempat berkenaan.

Menurutnya, kedua-duanya dan sepasang lagi suami isteri warga Indonesia disyaki bertindak sebagai ejen pengurus, pemilik atau penyewa bagi rumah transit tersebut yang bertanggungjawab menjaga segala kemudahan dari segi tempat tinggal, dan makan minum pendatang asing 'disimpan'.

Artikel Berkaitan:

PATI yang ditahan ketika operasi dijalankan awal pagi, semalam.
PATI yang ditahan ketika operasi dijalankan awal pagi, semalam.

"Ketika serbuan dan pemeriksaan, ada antara warga asing cuba melarikan diri dan bertindak agresif namun dapat dihalang oleh pegawai operasi yang membuat kepungan terlebih dahulu.

"Apa yang membimbangkan ada keluarga warga asing turut membawa anak-anak kecil untuk pulang ke negara asal tanpa memikirkan keselamatan diri dan juga kanak-kanak tersebut," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati sindiket ditumpaskan berfungsi sebagai ejen pembekal tenaga kerja warga asing untuk sektor-sektor perkilangan dan juga pembantu rumah.

Katanya, sindiket akan menggunakan bot untuk membawa kira-kira 30 warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri sah atau tinggal lebih masa bagi laluan sehala.

"Kesemua yang ditahan disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 26 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

"Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan," katanya.

Dalam pada itu, JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak menggunakan jalan singkat mendapatkan perkhidmatan pekerja asing kerana kebanyakan membawa kepada kerugian wang dengan jumlah yang besar akibat kes-kes pemalsuan dan juga penipuan.