Usaha bawa keluar rakyat Malaysia dari Sudan sudah dilakukan

Zambry Abd Kadir - Foto Bernama
Zambry Abd Kadir - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha dan tindakan membawa keluar rakyat Malaysia dari kawasan pertempuran di Khartoum telah pun dilakukan.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, keberadaan mereka ketika ini belum boleh dikongsikan atas faktor keselamatan.

"Proses membawa keluar rakyat Malaysia telah memasuki fasa kritikal, susulan kedua pihak yang bersengketa tidak menghormati gencatan senjata.

"Saya memohon rakyat Malaysia mendoakan kesemua mereka selamat dan misi mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan," katanya ketika dihubungi Bernama TV di sini pada Isnin.

Dr. Zambry berkata, Wisma Putra dan lain-lain agensi di Pusat Operasi Ops Sudan terus gigih berusaha untuk membawa keluar rakyat Malaysia.

Sebelum ini, Dr. Zambry berkata Malaysia sudah menghubungi pentadbiran tertinggi Sudan bagi memohon kelulusan lintas udara dan mendarat di negara itu.

Ia susulan tindakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan melanjutkan penutupan ruang udara negara itu sehingga 30 April.

Seramai 32 rakyat Malaysia dilaporkan berada di Sudan iaitu di tujuh tempat berbeza dan mereka dalam dalam keadaan selamat.

Pada 21 April lalu, dua rakyat Malaysia dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.

Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), korban akibat pergolakan di Sudan sehingga kini meningkat kepada lebih 400 orang, manakala 3,500 lagi cedera.

Konflik bersenjata itu tercetus sejak dua minggu lalu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF). - Bernama