NGO tunggu keputusan semak semula buku sejarah

Kementerian Pendidikan Malaysia
Kementerian Pendidikan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Bahasa Cina Malaysia masih menanti keputusan Kementerian Pendidikan berhubung cadangan semakan semula kandungan buku sejarah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang didakwa kurang menepati konteks sebenar sejarah.

Pengerusinya, Datuk Eddie Heng berkata, sejak 2014 mata pelajaran sejarah mula diperkenalkan di sekolah rendah serentak dengan penerbitan buku sejarah SJKC, bagaimanapun kandungan buku sejarah SJKC menimbulkan kritikan masyarakat Cina.

Katanya, buku sejarah yang digunakan di SJKC merupakan terjemahan daripada buku sejarah sekolah kebangsaan menyebabkan semua kandungan dan juga contoh yang digunakan adalah berdasarkan cara hidup, kepercayaan dan adat resam kaum Melayu dengan contoh dan cara hidup yang diceritakan berdasarkan murid sekolah kebangsaan.

“Selain daripada itu, terdapat banyak terjemahan yang salah dan tidak tepat. Oleh itu, Majlis Bahasa Cina telah menjemput enam pensyarah sejarah untuk menyemak kandungan buku sejarah SJKC.

“Selepas disemak, kumpulan pakar rujuk mendapati terdapat lebih kurang 157 isi yang perlu diperbetulkan. Antaranya terdapat kesalahan fakta, kesilapan tatabahasa, kesilapan penggunaan perkataan, kesilapan gambar dan sebagainya. Semua kesilapan ini telah dikemukakan kepada Ketua Pengarah Pelajaran bersama dengan cadangan pembetulan.

“Sebilangan kesilapan telah diperbetulkan mengikut cadangan yang dikemukakan oleh Majlis Bahasa Cina. Kerja semakan buku Sejarah dijalankan juga untuk buku Sejarah tahun 5 dan 6 selepas itu. Semua cadangan juga telah dihantar kepada Ketua Pengarah Pelajaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain semakan kandungan tersebut, Eddie Heng berkata, pihaknya mengemukakan beberapa permintaan kepada Kementerian Pendidikan antaranya mengesyorkan beberapa orang pakar sejarah yang dicadangkan oleh pertubuhan pendidikan Cina untuk menyertai panel mata pelajaran Sejarah.

“Buku Sejarah sekolah rendah diterbit berdasarkan polisi ‘satu kurikulum pelbagai edisi’ iaitu tiga aliran sekolah rendah akan menerbitkan buku sejarah sendiri dengan menggunakan kandungan kurikulum atau standard pembelajaran yang sama. Ini berbeza dengan keadaan sekarang di mana buku sejarah SJKC dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) adalah terjemahan buku sekolah kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching telah mengaturkan sesi perjumpaan wakil pakar sejarah masyarakat Cina dengan ahli panel Sejarah Kementerian Pendidikan. Namun kami masih menunggu keputusan Kementerian Pendidikan tentang cadangan dan permohonan kami,” ujarnya.

Beliau turut mendedahkan beberapa cadangan yang dikemukakan oleh 10 pertubuhan Cina mengenai buku teks Sejarah.

“Antaranya memasukkan kandungan mengenai pengaruh budaya India dalam kerajaan-kerajaan Melayu apabila membincangkan topik kerajaan Melayu awal dalam buku teks tahun empat. Cadangan ini dikemukakan dengan harapan penguasaan pengetahuan Sejarah murid boleh merangkumi unsur-unsur sejarah yang lebih awal daripada kewujudan Kesultanan Melaka.

“Manakala bagi buku teks tahun lima pula, tema sistem beraja dicadangkan ditukar kepada sistem beraja dan raja berperlembagaan; tema Islam ditukar kepada Islam serta agama dan kepercayaan utama yang lain; tema bahasa Melayu ditukar bahasa Melayu dan bahasa-bahasa ibunda kaum.

“Cadangan ini dikemukakan supaya kandungan buku Sejarah boleh memaparkan masyarakat majmuk Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa, budaya, agama dan bahasa,” katanya.

Eddie Heng menambah, kandungan mengenai penentangan penjajahan dicadangkan ditambah kandungan kesengsaraan semasa pendudukan Jepun dan bagaimana pejuang pelbagai kaum menentang Jepun.

“Cadangan ini dikemukakan kerana penentangan terhadap serangan Jepun merupakan satu kandungan Sejarah yang penting dalam Sejarah dunia dan Sejarah Malaysia. Murid kita harus tahu tentang kesengsaraan rakyat pada masa itu dan perjuangan rakyat untuk menentang kuasa penjajahan.

“Manakala kandungan mengenai pencapaian bidang sukan dan ekonomi dalam buku teks tahun enam pula dicadang supaya dimansuhkan kerana tidak mempunyai kaitan dengan mata pelajaran Sejarah,” kata beliau.

Sementara itu, Nie Ching menyatakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk semua mata pelajaran sedang disemak.

Katanya, bagi subjek Sejarah pula, Kementerian Pendidikan telah mewujudkan satu jawatankuasa yang terdiri daripada pakar-pakar Sejarah untuk menentukan penambahbaikan yang boleh dibuat.

“Jawatankuasa ini terima cadangan daripada pelbagi pihak dan buat keputusan.

“Tujuan semakan KSSR memang untuk tambah baik kurikulum sedia ada untuk semua mata pelajaran, semakan bukan ubah dan ia telah bermula sejak 2017,” jelasnya.