Sektor angkasa: Malaysia semak semula beberapa perjanjian antarabangsa

Fadillah - Foto Bernama
Fadillah - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Malaysia sedang menyemak semula secara aktif beberapa perjanjian antarabangsa berkaitan sektor angkasa untuk meningkatkan lagi industri angkasa negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, langkah itu dibuat berikutan pandangan positif Malaysia terhadap kerjasama dengan negara-negara lain dalam rantau ini bagi mengambil peluang ke atas pelbagai peluang sosioekonomi dengan kelebihan daya saing kos dalam capaian angkasa.

"Sebagai contoh, perkhidmatan pengeluaran angkasa untuk bahan pembangunan dan penyelidikan, farmaseutikal dan bioteknologi, gentian optik dan pembuatan semikonduktor boleh mendapat manfaat daripada keadaan dan keupayaan unik teknologi angkasa bagi meningkatkan proses pembuatan, membangunkan bahan ‘novel’ dan keupayaan teknologi maju.

"Saya mengalu-alukan setiap negara di rantau ini untuk bersama-sama menyumbang mengikut kekuatan dan kepakaran masing-masing dengan sasaran untuk menjadikan Asia Tenggara sebagai sebuah rantau angkasa yang maju setanding dengan sektor angkasa yang lebih maju di Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sebelum melancarkan Pelan Strategik Industri Angkasa Malaysia 2030 (SISP 2030) dan Forum Angkasa Antarabangsa Langkawi bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’23) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini pada Rabu. - Bernama