Isu idea khutbah Jumaat

A
A
A

SAYA ingin membuat komen tentang sebuah khutbah yang bertemakan masyarakat majmuk. Khutbah ini mendefinisikan majmuk sebagai sekumpulan masyarakat yang mempunyai budaya dan cara hidup yang berbeza.

Saya berusaha mendengar teliti kepada dua kata kunci paling saya minati iaitu ‘berlainan agama’ dan ‘berbeza kepercayaan’. Saya terkejut kerana sehingga tamat khutbah itu, dua perkataan ini tidak kedengaran. Apa yang keluar adalah berbeza bangsa, kaum dan gaya kehidupan.

Isu saya yang pertama adalah mengapa penulis khutbah tidak menggunakan frasa masyarakat berbilang agama atau ‘masyarakat berbilang kepercayaan? Tidakkah penulis khutbah faham akan Rukun Negara kita iaitu Kepercayaan kepada Tuhan yang bermaksud percaya kepada sebarang agama yang masyarakat itu pilih untuk ikut? Mengapa tidak mahu menggunakan kedua-dua frasa yang penting ini?

Oleh itu, khutbah ini hanya ditujukan kepada orang Islam yang berbeza budaya dan cara hidup. Kemungkinan khutbah ini untuk orang Cina Islam, orang India Islam atau orang Kadazan Islam. Tetapi keseluruhan tajuk dan khutbah ini adalah mengenai perpaduan nasional.

Bagaimana untuk mendapatkan perpaduan nasional apabila penulis khutbah tidak mahu mengiktiraf kehadiran dan kepercayaan masyarakat berbilang agama? Adakah penulis khutbah bimbang dengan memberi idea agama lain juga adalah agama yang sah dan boleh menyebabkan kekeliruan jemaah yang kebanyakannya belajar di universiti dan Melayu kelas pertengahan?

Bagaimana nak harapkan orang Islam menghormati agama lain apabila khutbah Jumaat tidak menyebut langsung frasa masyarakat berbilang agama?

Adakah Jabatan Agama Negeri tidak menyokong Rukun Negara? Atau penulis tidak layak menulis khutbah untuk rakyat?

Saya telah mendengar banyak khutbah sepanjang zaman dewasa yang membolehkan saya menyimpul bahawa idea Malaysia sebagai negara Perlembagaan dan Rukun Negara seolahnya tidak bersetuju dengan persepsi jabatan agama negeri.

Artikel Berkaitan:

Kemungkinan juga pegawai yang menulis khutbah tidak mempunyai ilmu tentang pembangunan negara tetapi cuma ilmu dalam Islam tradisional.

Patutlah orang Islam tidak suka melihat gambar khinzir semasa sambutan raya Cina tahun Khinzir. Patutlah orang Islam menuntut tari-menari oleh peguam dan para hakim bukan Islam adalah aktiviti yang tidak hormat dan tidak bermoral. Rasuah oleh pemimpin Islam dan penjawat tinggi awam adalah perbuatan yang dianggap tidak berdosa.

Kata-kata yang menghina orang Malaysia yang bukan orang Melayu dan juga agama mereka adalah perbuatan yang tidak berdosa tetapi perbuatan yang dipercayai melindungi agama Islam.

Wahai orang-orang Malaysia, bagaimana kita hendak maju untuk 50 tahun yang akan datang?

Saya selalu menyatakan orang yang memusnahkan Malaysia bukanlah orang politik atau individu ekstremis tetapi jabatan agama negeri yang tidak tahu banyak tentang kehidupan masyarakat dalam demokrasi dan menghormati kepercayaan dan cara hidup orang bukan Islam.

Keharmonian

Kedua, saya agak terkejut dengan cuma dua nasihat yang diberikan dalam membina keharmonian sosial.

Nasihat yang diberi adalah mengenai tolong-menolong di antara satu sama lain. Adakah itu sahaja? Agama lain tidak hargai orang tua dan kanak-kanak?

Agama lain tidak menolong orang miskin, orang sakit dan orang tua?

Cuma tolong-menolong antara satu sama lain. Hanya itu sahajakah penulis khutbah boleh berfikir? Kenapa tidak disebutkan pelbagai kesamaan nilai sosial antara agama dengan Islam?

Khutbah itu juga tidak menyebut orang Islam tidak tahu akan nasib mereka di akhirat nanti sama ada mereka masuk syurga atau neraka.

Jikalau semua khutbah kita daripada pelbagai agama boleh bercakap tentang nilai kebaikan yang sama, kemudian kita akan hidup di dalam negara yang lebih aman.

Saya tidak membaca khutbah agama lain dan cuma mendengar daripada khutbah Islam, jadi saya tidak mahu membuat sebarang analisis terhadap agama lain.

Akhir sekali, saya ingin menutup dengan berkata bahawa Malaysia tidak akan dapat ke mana-mana dalam keharmonian kaum dan agama jikalau khutbah seperti itu tidak berubah.

Perubahan mesti datang dengan idea Islam betul dalam konstruk pembangunan negara dan bukan Islam di luar idea dan cita-cita Perlembagaan atau Rukun Negara.