Khutbah: Serah pihak berautoriti kendali isu kalimah ALLAH

Khutbah di Negeri Sembilan pada Jumaat menasihatkan semua pihak menyerahkan kepada pihak berautoriti untuk mengendalikan isu kalimah ALLAH. - Gambar hiasan
Khutbah di Negeri Sembilan pada Jumaat menasihatkan semua pihak menyerahkan kepada pihak berautoriti untuk mengendalikan isu kalimah ALLAH. - Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Semua pihak dinasihatkan menyerahkan kepada pihak berautoriti yang bijaksana untuk mengendalikan isu kalimah ALLAH.

Peringatan itu disampaikan menerusi khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di seluruh masjid di Negeri Sembilan.

Menurut khutbah Jumaat yang bertajuk 'Serahkan Kepada Ahlinya', umat Islam diminta hindari sikap suka mengulas tanpa maklumat yang cukup, sebagaimana yang dilakukan oleh segelintir masyarakat.

"Dalam isu berkenaan kalimah ALLAH yang timbul kembali mutakhir ini, mimbar ingin mengajak masyarakat Islam agar bertenang dan menyerahkan perkara ini kepada pihak yang berautoriti.

"Pihak berkuasa agama di negeri kita dihujani oleh pelbagai berita dan cerita mengenai isu kalimah ALLAH. Perkara ini mengundang pelbagai spekulasi yang tidak diketahui hujung pangkalnya.

"Alangkah bagusnya jika kita mengambil langkah berhati-hati dalam mengulas isu sebegini dengan menyerahkannya kepada pihak yang berautoriti," katanya.

Menurut teks khutbah itu lagi, di Malaysia memiliki jawatankuasa fatwa di setiap negeri dan Majlis Raja - Raja yang sudah pasti mendapat nasihat daripada pihak yang berautoriti seperti majlis fatwa dan Majlis Agama Islam Negeri.

Oleh yang demikian jelasnya, wajarlah menyerahkan kepada pihak yang berautoriti yang bijaksana untuk mengendalikan isu sebegini.

"Hindarilah sikap suka mengulas tanpa maklumat yang cukup, sebagaimana yang dilakukan oleh segelintir masyarakat, katanya.

Selain itu khutbah berkenaan turut menyatakan di sebalik timbunan maklumat yang menerjah ke minda masyarakat, didapati terdapat perbezaan pandangan yang ketara dalam pelbagai isu.

Jelasnya, ada orang yang berpandangan bahawa perbezaan pandangan adalah baik demi kematangan minda yang berfikir, tetapi perbezaan pandangan yang tidak diurus dengan baik boleh mengundang kekeliruan, perbalahan dan kekacauan.

"Perbezaan pandangan atau disebut ikhtilaf, sememangnya tidak dapat dielakkan dalam pelbagai aspek kehidupan.

"Bahkan dalam urusan agama sekalipun, ulama berselisih pendapat, sama ada dalam bab aqidah, fiqah, akhlak dan sebagainya.

"Bagaimanakah perbezaan boleh terjadi? Hakikatnya, dalam kalangan ilmuwan, mereka mempunyai latar belakang keilmuan dan pengalaman yang berbeza. Maka hasilnya, sudut pandang pun turut berbeza," katanya.

Khutbah itu menjelaskan, dalam menangani isu perbezaan pandangan, Islam menggariskan dua prinsip yang penting iaitu mengembalikan perkara yang diselisihkan itu kepada hukum ALLAH dan Rasulullah SAW manakala yang kedua bertanya dan merujuk perkara yang tidak diketahui dan difahami kepada ahli yang berkelayakan dalam bidangnya.