Khutbah Jumaat bawa mesej anti rasuah setiap minggu

Nurhayati Nordin menyerahkan plak 'Mak Kata Jangan' kepada Ruslan bersempena dengan kunjungan hormat Rasuah Busters ke Jakim.
Nurhayati Nordin menyerahkan plak 'Mak Kata Jangan' kepada Ruslan bersempena dengan kunjungan hormat Rasuah Busters ke Jakim.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif untuk memastikan pengisian khutbah Jumaat nanti, akan diselitkan mesej mengenai bahaya budaya rasuah yang membawa kesan kepada kehancuran sesebuah tamadun agama dan bangsa pada setiap minggu khutbah dibacakan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasinya, Ruslan Said berkata, pelaksanaan itu penting dalam memastikan masyarakat menjiwai perasaan benci rasuah kerana mereka akan mendengarnya pada setiap hari Jumaat.

"Jadi ini merupakan peringatan berterusan kepada masyarakat untuk menghindari daripada perbuatan jijik rasuah.

"Sebelum ini kita lakukan secara berkala, macam bermusim lah, sempena bulan integriti, jadi yang ini mungkin satu cadangan untuk kita masukkan setiap minggu. Kita akan selit elemen anti rasuah itu, itu kita akan laksanakan, perkara itu insya-ALLAH mudah untuk dilakukan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ruslan
Ruslan

Sebelum itu, delegasi Rasuah Busters yang diketuai oleh diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin mengadakan kunjung hormat dan perbincangan bersama Ruslan di pejabatnya di Putrajaya.

Perbincangan selama sejam itu antaranya membincangkan mengenai jalinan kerjasama antara Jakim dan Rasuah Busters dalam mempertingkan lagi perjuangan menentang rasuah di negara ini.

Sementara itu, menyentuh mengenai kerjasama Jakim dan Rasuah Busters, Ruslan menyambut baik jalinan kolabaratif berkenaan dan yakin sinergi itu akan menghasilkan kejayaan ke arah melahirkan Malaysia Tanpa Rasuah.

"Jadi kerjasama ini saya rasa sesuatu yang amat bagus, kita sebar luaskan lagi kempen ini.

"Bagi saya kerjasama ini perlu juga penyertaan daripada semua pihak, untuk memastikan rakyat kita ini diberi kesedaran berkaitan dengan rasuah, kerana sebagai mana yang kita tahu rasuah ini merupakan perosak kepada segala-galanya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam proses melahirkan negara yang 'bersih' daripada rasuah, budaya benci perbuatan jijik ini perlu ditanam kepada generasi muda sejak mereka kecil lagi.

"Kempen kesedaran ini perlu bermula di peringkat sekolah rendah lagi, sejak mereka mudah dibentuk.

"Jadi biarlah kita 'melentur buluh, biarlah daripada rebungnya', itulah perumpamaanya" katanya.