Hidangan asam pedas catat Malaysia Book Of Records

Sebahagian chef tempatan, pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Kumpulan Wanita Nelayan dan pengunjung yang menyertai.
Sebahagian chef tempatan, pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Kumpulan Wanita Nelayan dan pengunjung yang menyertai.
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 135 hidangan asam pedas berjaya dihasilkan menerusi penganjuran Q'Fish Cabaran Asam Pedas sempena program Cabaran Masakan Melaka 2019 yang diadakan di pasaraya KIP Mall di sini semalam.

Menariknya kesemua hidangan tersebut yang disediakan barisan chef tempatan, pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kumpulan Wanita Nelayan (KUNITA) serta pengunjung ini turut dicatatkan di dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai hidangan asam pedas Q'Fish terbanyak.

Ketua Pengarah LKIM, Jamaludin Othman berkata, program anjuran LKIM dengan kerjasama Kelab Chef Melaka dan Adabi Consumer Sdn Bhd ini hanya menggunakan tiga jenis ikan Q'Fish iaitu kembung, cencaru dan selar.

Menurutnya, sebanyak 135 hidangan asam pedas yang dicatatkan berjaya memadam rekod masakan terdahulu iaitu sebanyak 88 hidangan kari kepala ikan anjuran Persatuan Chef India Malaysia pada Januari lalu.

"Sebenarnya program ini sebagai satu usaha memperkenalkan ikan segar beku kepada masyarakat. Ikan segar beku adalah alternatif yang popular di kalangan rakyat B40 yang berpendapatan RM4,000 ke bawah untuk sentiasa mendapatkan bekalan ikan.

"Harga ikan melambung tinggi dan ikan yang sering mendapat perhatian rakyat adalah ikan jenis kembung, pelaling, cencaru, selar, talapia dan keli.

"Kesemua jenis ikan inilah yang kita bekukan dan dinamakan sebagai Q-Fish," katanya selepas menerima sijil pengiktirafan dari Penyelidik Analisis MBOR, Nurul Fatihah Mahmood.

Artikel Berkaitan:

Hidangan asam pedas ikan Q'Fish yang dihasilkan menerusi penganjuran Q'Fish Cabaran Asam Pedas sempena program Cabaran Masakan Melaka 2019 yang diadakan di pasaraya KIP Mall di sini semalam.
Hidangan asam pedas ikan Q'Fish yang dihasilkan menerusi penganjuran Q'Fish Cabaran Asam Pedas sempena program Cabaran Masakan Melaka 2019 yang diadakan di pasaraya KIP Mall di sini semalam.

Program disempurnakan oleh Exco Pertanian Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee.

Dalam pada itu, Jamaludin berkata, pihaknya turut mensasarkan sebanyak 1,300 metrik tan permintaan ikan segar beku di pasaran mulai tahun ini sehingga 2020.

"Kita percaya dengan promosi seperti ini rakyat akan mengetahui dan memilih ikan Q'Fish ini yang telah berada di pasaran sejak 2013.

"Pada tahun lalu, permintaan ikan Q'Fish melonjak kepada 561 metrik tan dan dengan adanya promosi-promosi seperti ini, galakan yang diberi kepada orang awam pada 2019 hingga 2020, kita yakin mampu mencapai sasaran itu," katanya.

Beliau menjelaskan ikan Q'Fish disimpan pada suhu -18 darjah celsius untuk mengekalkan kesegarannya dan menjadi alternatif kepada golongan bependapatan sedarhana.

"Harga siling ikan Q'Fish seperti ikan kembung di pasaran dijual pada harga RM10. Namun bagi ikan basah pada waktu tertentu terutama musim tengkujuh pernah mencecah RM16 hingga RM18 malah lebih dari itu.

"Jadi sebagai alternatif gunalah ikan segar beku Q-Fish yang harga jauh lebih rendah dan kualitinya terjamin sebagai mana ikan segar lain.

"Ikan Q-Fish boleh diperloehi di 99 buah outlet seluruh negara di pasar-pasar nelayan milik persatuan-persatuan nelayan negeri-negeri," katanya.

Tambahnya, dengan kerjasama strategik selepas ini di antara LKIM, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Lembaga Pertubuhan Peladang, Suruhanjaya Koperasi Malaysia serta pihak swasta ikan Q'Fish ini akan dipasarkan secara lebih meluas.