APMM selesaikan pertindihan kuasa maritim

No Image Caption
A
A
A

WAJARKAH Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dibubarkan? Itu persoalan yang ditimbulkan sejak kebelakangan ini apabila ada segelintir pendapat yang menyuarakan pandangan mahu agensi itu dibubarkan berikutan dakwaan berlaku pertindihan kuasa antara APMM dan juga agensi maritim yang lain.

Malah idea pembubaran itu juga timbul selepas kerajaan mahu melaksanakan penstrukturan semula agensi-agensi kerajaan yang bertindih bidang kuasanya.

Untuk makluman, sebelum penubuhan APMM, terdapat lapan agensi maritim yang melaksanakan penguatkuasaan lebih daripada 100 undang-undang Persekutuan, perjanjian dan peraturan.

Lapan agensi itu ialah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Polis Marin, Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Laut, Jabatan Perikanan,

Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Imigresen. Bagi mengatasi pertindihan fungsi, bidang kuasa, kawasan operasi dan pembaziran kegunaan sumber, maka APMM ditubuhkan. Di samping itu, tugas koordinasi penguatkuasaan di laut dapat ditingkatkan.

Dengan tertubuhnya APMM, masalah pertindihan kuasa berjaya diselesaikan dan bidang kuasa agensi itu termaktub dalam Akta APMM (Akta 633) iaitu menguatkuasakan semua undang-undang Persekutuan serta peraturan-peraturan yang terpakai dari pesisir pantai hingga 200 batu nautika.

Sepanjang penubuhan APMM iaitu pada 2005 sehingga kini, agensi itu yang memiliki lebih 4,000 pegawai dan anggota telah melaksanakan lebih 300,000 operasi penggeledahan di laut dan membuat lebih 11,000 tangkapan meliputi pelbagai kesalahan jenayah maritim.

Bagi memantapkan lagi APMM, satu pelan transformasi dikenali Pelan Perancangan Strategik Maritim Malaysia 2040 telah dilancarkan pada Disember 2011. Di bawah pelan ini APMM akan menjadi sebuah agensi yang kukuh dari segi sumber manusia, aset serta keupayaan pengoperasian menguatkuasakan undang-undang maritim serta melaksanakan operasi penyelamatan.

Artikel Berkaitan:

Pada 11 April lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan kementeriannya akan memberi perhatian terhadap aset-aset APMM yang usang dan tidak mencukupi untuk melaksanakan operasi di laut dengan lebih berkesan.

Malah, katanya, APMM telah menerima tiga Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPC) dan tiga buah lagi sedang dalam proses penyerahan kepada APMM.

Secara kesimpulannya, APMM merupakan penguatkuasa maritim yang utama dan sebarang cadangan untuk membubarkannya adalah tidak wajar berdasarkan sejarah penubuhannya serta keupayaan yang dimiliki agensi itu berbanding dengan agensi maritim lain pada masa kini.