Bawa usul jadikan Pulau Merambong pengkalan Maritim Malaysia

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Pandak
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Pandak
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pemantauan lebih kerap dan ketat di kawasan perairan Malaysia-Singapura perlu dilaksanakan agensi penguatkuasa negara ini bagi mengelakkan aktiviti pencerobohan atau provokasi pihak luar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berpandangan sebuah pengkalan bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) patut dibangunkan di Pulau Merambong yang terletak di Selat Tebrau.

"Saya akan bawa usul ini pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), bulan depan. Isu kedaulatan negara tidak boleh dipermainkan sebaliknya tindakan tegas melalui penguatkuasaan perlu dilakukan.

"Saya juga terkejut dengan penafian dibuat pihak berkuasa negara jiran, semalam. Bagaimanapun hari ini, Maritim Malaysia membuat pengesahan dan bantahan.

"Saya tidak akan memihak kepada nelayan tempatan jika terbukti mereka menceroboh perairan negara jiran," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut Pandak dengan bukti dan pengesahan pihak penguatkuasaan negara, tindakan tegas perlu diambil untuk mempertahankan hak serta rakyat negara ini daripada terus ditindas.

"Usul khas tentang Pulau Merambong, perlu disertakan dengan pemetaan semula persempadanan perairan Singapura-Malaysia membabitkan perairan Johor khususnya Selat Tebrau.

"Pemetaan ini boleh dilakukan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) supaya kedaulatan negara dijaga sebaiknya dan nelayan tempatan tidak terus menjadi mangsa.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Pasukan Polis Singapura (SPF) menafikan dakwaan nelayan Malaysia dihalau pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) kerana menangkap ikan di perairan negara ini, pada 14 Ogos.

SPF dalam kenyataannya memaklumkan, dakwaan itu adalah tidak benar kerana insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura berdekatan Tuas.

SPF berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.55 pagi Isnin lalu ketika bot PCG sedang membuat kawalan di kawasan perairan negara itu.

Pada Rabu, empat nelayan Kampung Pendas, Iskandar Puteri mendakwa pihak berkuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring mereka ketika sedang memasang jaring udang di kawasan perairan Selat Tebrau, pada pagi Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi berhampiran Jambatan Linkedua itu, sebuah bot berkuasa negara jiran didakwa melanggar jaring udang yang dipasang sebelum menariknya sehingga masuk ke dalam sempadan negara berkenaan.

Nelayan Kampung Pendas, Faizan Wahid, 42, dilaporkan berkata ketika kejadian dia bersama tiga nelayan lain sedang memasang jaring udang.

ARTIKEL BERKAITAN:

[VIDEO] Nelayan dakwa jaring dilanggar pihak berkuasa Singapura

Polis Singapura nafi dakwaan nelayan tempatan

Maritim Malaysia bantah pencerobohan PCG Singapura