Peniaga dakwa rugi jutaan ringgit jenama asal produk diciplak


Dr Mumtaz Abd Razak, 56, menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Semenyih, di Selangor baru-baru ini ekoran produk hasil keluarannya diciplak pihak lain dan menggunakan logo halal tidak sah.
Dr Mumtaz Abd Razak, 56, menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Semenyih, di Selangor baru-baru ini ekoran produk hasil keluarannya diciplak pihak lain dan menggunakan logo halal tidak sah.
A
A
A

MELAKA - Seorang pengusaha makanan sejuk beku mendakwa terpaksa menanggung kerugian berjuta ringgit selepas jenama asal produknya diciplak pihak lain dengan menggunakan logo halal tidak sah pada kempen promosinya.

Pengarah Urusan serta pemilik Mumtaz Meat & Marine Foods Sdn Bhd, Dr Mumtaz Abd Razak berkata, kilang pemprosesan di Jalan Semenyih, Selangor juga telah diserbu Bahagian Penguatkuasaan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurutnya, kesan daripada itu menyebabkan semua proses pengilangan dan pengeluaran produk dihentikan serta-merta.

"Sebenarnya, jenama Az-Zain yang saya usahakan sudah pun mendapat pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), manakala produk sama yang diusahakan lelaki berkenaan tidak memperoleh (sijil halal) kerana dia 'menumpang' jenama tanpa kebenaran saya.

"Keadaan itu menyebabkan pengguna serta pelanggan tetap saya keliru dan sudah pasti sebahagian besar mereka menghentikan sementara pengambilan produk sehingga saya menanggung kerugian yang banyak," katanya ketika ditemui di Cheng, di sini baru-baru ini.

Susulan itu, Dr Mumtaz membuat laporan polis berhubung salah laku lelaki berkenaan di Balai Polis Semenyih, baru-baru ini.

Berikutan itu juga, baru-baru ini, Bahagian Penguatkuasaan Halal JAIS menyerbu sebuah kilang memproses ayam di Semenyih kerana meletakkan logo halal pada kempen promosi tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa agama.

Tindakan itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengguna termasuk video promosi yang kini boleh ditonton di media sosial.

Artikel Berkaitan:

JAIS turut mengesan syarikat itu mempamerkan logo halal pada gegantung, risalah dan kain rentang bagi mempromosikan ayam yang disembelih di kilang terbabit.

Dr Mumtaz berkata, pusat pemprosesan ayam yang diserbu itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pengurusan asal Az-Zain di bawah kelolaan Mumtaz Meat & Marine Foods Sdn Bhd yang memang memegang sijil halal yang sah di sisi undang-undang.

Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan syarikatnya dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan kekeliruan yang dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab berkenaan.