Tiada lagi Amanjaya, tukar nama kepada tempat berkenaan: MB

Surat mengenai penjenamaan semula nama Terminal Amanjaya kepada Terminal Meru Raya yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.
Surat mengenai penjenamaan semula nama Terminal Amanjaya kepada Terminal Meru Raya yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengambil keputusan untuk menukar semua nama Amanjaya melibatkan bangunan atau tempat ditukar kepada nama kawasan masing-masing.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan tersebut dibuat untuk mempopularkan tempat tersebut berbanding menggunakan jenama Amanjaya.

Menurutnya, semua tempat, bangunan awam dan dataran tidak perlu menggunakan jenama politik sebaliknya perlu kekal dengan nama umum.

"Dulu memang banyak nama Amanjaya, tetapi kita tukar nama kepada tempat berkenaan. Sebelum ini kerajaan berpandangan mungkin nak selaraskan tetapi pentadbiran hari ini kita nak naikkan nama tempat berkenaan.

"Tidak perlu tukar nama lain sebab nama tempat, dataran, bangunan awam tidak perlu dipolitikkan kalau nama Stadium Perak kita kekalkan Stadium Perak. Tidak perlu ubah kepada Stadium Perak Harapan atau sebagainya.

"Kalau sekiranya kerajaan bertukar tidak perlu lagi ubah kepada nama lain, kekal sahaja nama tempat itu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Digital Perak Corporation Berhad (DigitalPerak) di Bangunan Perak Techno Trade Center (PTTC), Bandar Meru Raya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai satu surat daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mengenai penjenamaan semula Terminal Amanjaya kepada Terminal Meru Raya dan Terminal Bas Kampar kepada Terminal Kampar Putra yang tular di media sosial sejak dua hari lalu.

Katanya, selain itu, Bulatan Amanjaya di Bandar Meru Raya turut ditukar nama kepada Bulatan Sultan Azlan Shah sebagai mengenang sumbangan baginda kepada Perak.

Artikel Berkaitan:

Jenama Amanjaya diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional di bawah Menteri Besar Perak ketika itu, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Amanjaya merupakan gagasan yang dibawa di dalam pentadbiran ketika itu merangkumi hala tuju pembangunan kerajaan Perak.