X

Kindly register in order to view this article
!

Usah belenggu penjawat awam

A
A

SECARA tiba-tiba pula Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda pada Isnin lalu mendedahkan wujudnya gangguan staf lantikan politik terhadap tugas-tugas penjawat awam di dalam negara kita.

Beliau mendedahkan, terdapat aduan dibuat penjawat awam kepada Cuepacs yang sekali gus menjejaskan pelaksanaan dasar dan sistem penyampaian kerajaan.

Ironinya, kenyataan itu dibuat setelah sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditegur oleh bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin supaya percaya dan segera bekerjasama dengan penjawat awam sekiranya masih mahu berkuasa.

Kenyataan itu tidak mengejutkan kerana fenomena lantikan politik bertindak ‘lebih sudu dari kuah’ bukanlah sesuatu yang baharu. Gangguan dan campur tangan lantikan politik antara masalah yang banyak diperkatakan ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah.

Ketika era BN, lantikan politik selalunya berlaku dalam konteks memberikan habuan dan ganjaran kepada orang politik terutamanya sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah dalam agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya.

Perkara itu telah menjadi satu budaya dan kebiasaan dalam BN yang akhirnya membawa kepada pelbagai kerosakan kepada negara terutamanya perkhidmatan awam.

Walaupun setiap dasar dan perancangan pembangunan sosioekonomi sesebuah negara selalunya dirancang oleh aktor politik, pelaksanaan dasar itu berkait rapat dengan peranan yang dimainkan oleh penjawat awam.

Sesempurna mana pun perancangan dasar itu di peringkat politik, kalau pelaksanaan yang dibuat oleh penjawat awam lemah dan tidak cekap maka ia bolehlah dianggap sebagai sia-sia.

Disebabkan itu, kunci utama kepada kejayaan ini terletak kepada kemampuan sesebuah kerajaan untuk meletakkan kepercayaan dan bekerjasama dengan penjawat awam.

Dalam masa sama, kerajaan dan penjawat awam juga mesti memperkemaskan kedinamikan, meningkatkan kecekapan dan produktiviti pentadbiran awam secara tetap dan konsisten.

Kalau masih ingat, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad mula-mula menjadi Perdana Menteri tahun 1981, dalam membawa Malaysia ke satu aras yang baharu, beliau memberi tumpuan khusus kepada perubahan pentadbiran awam sebagai usaha awal beliau.

Ketika itu isu-isu birokrasi dan kecekapan penjawat awam dikenal pasti sebagai masalah utama perkhidmatan awam.

Dasar-dasar seperti Bersih, Cekap, Amanah; Kepimpinan Melalui Teladan; Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Kepimpinan serta Dasar Pandang ke Timur telah dirangka khusus untuk meningkatkan nilai dan produktiviti penjawat awam.

Malangnya walaupun sedemikian, Dr Mahathir ketika itu dilihat seperti tidak percaya dengan penjawat awam sepertimana pemimpin sebelumnya. Sebab itulah tiga tahun pertama pentadbirannya, hubungan antara beliau dengan penjawat awam sentiasa dilihat tegang tetapi stabil.

Setelah beberapa ketika barulah nampak ada persefahaman yang baik, itu pun masih di tahap sederhana.

Selepas era penswastaan, Dr Mahathir dilihat mula galak membuat lantikan politik dalam kerajaan sebagai sebahagian daripada dasar pentadbirannya yang kemudian diteruskan oleh penggantinya.

Dua contoh tadi jelas memperlihatkan kita bagaimana perlunya sesebuah kerajaan untuk sentiasa mempercayai dan membebaskan penjawat awam untuk melakukan tugasnya tanpa sebarang tekanan dan gangguan.

Walaupun penjawat awam adalah institusi yang paling penting dan dominan dalam masyarakat, ironinya mereka jugalah institusi yang sering dikecam dan dipandang sinis oleh masyarakat.

Gelaran lembab, makan gaji buta dan lain-lain sudah cukup membebankan mereka dalam menggalas tugas harian.

Jadi jangan bebankan lagi mereka dengan sebarang perselisihan pendapat atau percanggahan politik daripada mereka yang tidak sepatutnya.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf