'Sambung belajar demi lunaskan 'hutang’ kepada arwah abang'

Mohd Kamarulzaman (kanan) merakam gambar bersama rakan baharu ketika Minggu Jalinan Mesra sempena pendaftaran pelajar bagi pengambilan 2023/2024 pada 1 hingga 5 Oktober lalu.
Mohd Kamarulzaman (kanan) merakam gambar bersama rakan baharu ketika Minggu Jalinan Mesra sempena pendaftaran pelajar bagi pengambilan 2023/2024 pada 1 hingga 5 Oktober lalu.
A
A
A

KUALA NERUS - Bergelar junior pada usia 40 tahun bukan mudah bagi seorang bapa kepada empat cahaya mata yang kini berjaya menyambung pengajian di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Anak bongsu daripada tujuh beradik, Mohd Kamarulzaman Embong mengetepikan perasaan malu apabila bergelar pelajar junior paling tua ketika Minggu Jalinan Mesra pelajar baharu universiti itu bagi pengambilan 2023/2024 pada 1 hingga 5 Oktober lalu.

Menurutnya, hasrat untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda telah lama terpendam selepas tamat pengajian peringkat diploma kira-kira 20 tahun lalu.

"Sebenarnya, selain kemahuan sendiri untuk sambung pengajian, apa yang saya lakukan ini sebab mahu lunaskan 'hutang’ kepada arwah abang saya yang mahukan saya menggenggam segulung ijazah.

"Saya kuatkan semangat untuk meneruskan pengajian berbekalkan dorongan dan semangat oleh ahli keluarga dan rakan-rakan sekerja sebelum ini," katanya menyambung pengajian dalam program Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Sains Tanaman).

Difahamkan, Mohd Kamarulzaman dibesarkan oleh kakak dan abangnya sejak kecil selepas ibu bapa mereka meninggal dunia ketika berusia lima tahun.

Sebelum ini, dia menjawat jawatan sebagai Eksekutif di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan mengambil keputusan cuti belajar beberapa tahun untuk menggapai impian bergelar siswazah.

“Saya sangat gembira dan teruja apabila mendapat tawaran sambung pengajian di UMT kerana ia tidak asing bagi saya malah berada di negeri kelahiran saya sendiri. Rakan-rakan pun ramai yang belajar di sini dan bergelar alumni.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga tiada masalah bersama rakan-rakan seperjuangan di kampus dan menganggap mereka seperti adik sendiri. Saya pun digelar oleh rakan-rakan satu kuliah sebagai Abang Long dan mereka masih hormati saya walaupun kami satu 'batch'," katanya.

Mohd Kamarulzaman berkata, proses menuntut ilmu tiada batasan masa dan ia suatu perkara yang dituntut dalam agama.

Justeru, katanya, mereka yang berpeluang untuk menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi atau disarankan untuk tidak melepaskan peluang keemasan yang ada.

"Semua orang berpeluang menuntut ilmu dan ia belum terlambat walaupun kita berkeluarga dan memiliki pekerjaan yang stabil.

"Niat kita menuntut ilmu pengetahuan kerana ALLAH SWT. Semoga kita dapat berkongsi ilmu yang bermanfaat kepada semua orang," ujarnya.

Untuk rekod, UMT bermula dengan sebagai sebuah Pusat Perikanan dan Sains Samudera pada 1979 kini telah melalui pelbagai evolusi dan berjaya melakar kejayaan dalam pelbagai bidang akademik, R&D, kokurikulum serta melahirkan pakar khususnya bidang sains kelautan dan sumber akuatik.

Antara pencapaian dan pengiktirafan yang telah diperolehi UMT adalah penarafan oleh Times Higher Education (World University Rankings), Times Higher Education (Impact Rankings), Times Higher Education (World University Rankings by Subject), QS World University Rankings, QS University Rankings (Asia), UI GreenMetric, MyMoheS, Malaysia Research Assessment (MyRA) dan SETARA.