300,000 lepasan SPM tidak mahu sambung belajar

Mustapa (dua, kiri) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Simposium Keharmonian Perusahaan Zon Selatan 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini pada Khamis.
Mustapa (dua, kiri) ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan Program Simposium Keharmonian Perusahaan Zon Selatan 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Sumber Manusia (KSM) melahirkan kebimbangan apabila berdepan cabaran untuk melahirkan tenaga mahir kerana sebilangan pelajar lepasan sekolah lebih berminat untuk tidak meneruskan pengajian mereka.

Timbalan Menterinya, Mustapa Sakmud berkata, situasi itu dipercayai akan mempengaruhi dan memperlahankan sasaran kementerian untuk melahirkan 35 peratus tenaga mahir menjelang 2030 memandangkan sekarang negara masih berada di tahap 28 peratus.

Menurut beliau, berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) lebih kurang 300,000 pelajar lepasan SPM tidak mahu melanjutkan pelajaran atas beberapa faktor termasuk kemungkinan tertarik dengan ekonomi gig.

"Inilah sebenarnya yang menjadi cabaran besar kepada kita dengan pengaruh ekonomi ini telah memberi kesan kepada anak muda.

"Jadi kita mahu menjadi negara maju dengan tenaga mahir yang mencukupi supaya kita dapat menggerakkan industri-industri kita di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Simposium Keharmonian Perusahaan Zon Selatan 2023 di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM), Khalid Jali.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, semua kementerian, sekolah dan ibu bapa perlu berganding bahu bagi memberi kesedaran kepada generasi muda untuk lebih mengutamakan pendidikan.

Ujar beliau, ini termasuk menggalakkan mereka mengambil sijil kemahiran untuk masa depan yang lebih terjamin.

"Jangan hanya memikirkan jangka masa pendek saja, fikirkan yang lebih jauh.

"Yang kekal ini mereka perlu ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka perlu ada sijil kemahiran, dan sudah tentu mereka perlu melanjutkan peringkat diploma atau ijazah itu akan kekal sampai bila-bila," katanya lagi.