Bekas Home Guard tertua meninggal pada usia 114 tahun

Jenazah Ariffin disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Tanjung Buluh di sini untuk dikebumikan pada malam Selasa.
Jenazah Ariffin disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Tanjung Buluh di sini untuk dikebumikan pada malam Selasa.
A
A
A
LIPIS - Bekas anggota pasukan Home Guard (Pasukan Kawalan Tempatan Tanah Melayu) dipercayai tertua di negara ini, Ariffin Mat Deris meninggal dunia pada usia 114 tahun di Kampung Tanjung Buluh, Kerambit di sini pada Selasa.

Allahyarham meninggal dunia jam 5.30 petang di rumah anaknya Zulkifli Ariffin kerana sakit tua.

Zulkifli berkata, jenazah ayahnya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Buluh pada malam Selasa.

"Saya dan keluarga berterima kasih terutama kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis yang sentiasa cakna dengan arwah bapa.

"Selain itu Kampung Tanjung Buluh ini juga turut dijadikan kampung angkat polis daerah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, sebagai mengenang jasanya ketika berkhidmat dengan pasukan Home Guard, Allahyarham Ariffin diberi penghormatan menjadi salah seorang daripada anggota keluarga angkat IPD Lipis.

"Allahyarham merupakan anggota Home Guard di mana pasukan sukarela itu telah banyak membantu pihak keselamatan mempertahankan negara ini semasa zaman darurat sekitar tahun 1948.

"Pasukan itu berperanan mengawal keselamatan kawasan berisiko dengan ancam komunis dan diserang hampir setiap hari seperti kawasan perkampungan, pekan, ladang getah, penempatan semula dan kampung baru," katanya.

Azli berkata, Ariffin yang lebih dikenali dengan panggilan Chik, pernah bertugas sebagai homeguard antara 1948 hingga 1959 di Kampung Banggul Cik Wan, Pasir Mas, Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu beliau bersama beberapa pegawai kanan polis IPD Lipis turut menziarahi kematian dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris Allahyarham.