Muktamar Pas: Pas melakukan percaturan yang silap - Shahril Sufian

Shahril Sufian menerusi Program Podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bersama Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar Bekas pada Rabu.
Shahril Sufian menerusi Program Podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bersama Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar Bekas pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pas untuk tidak mempertandingkan lima jawatan tertinggi iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden pada Muktamar Tahunan Pas ke-69 itu menggambarkan seolah-olah tidak ada demokrasi di dalam kepimpinan parti berkenaan.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, Pas sebagai pembangkang perlu merebut peluang yang ada untuk mendominasi berita seterusnya menyampaikan mesej serta inspirasi kepada rakyat.

“Pada pandangan saya, Pas melakukan percaturan yang silap kerana kita boleh terangkan perbezaan secara objektif, tetapi apa yang dilihat (oleh rakyat) diluar sana adalah tidak ada demokrasi di dalam Pas.

“Saya nak sebut kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN), anda adalah pembangkang. Sebagai pembangkang, anda tidak dapat mendominasi berita, cerita dan imaginasi rakyat seperti kerajaan.

“Apabila anda tidak membuka atau adakan pertandingan (lima jawatan tertinggi Pas), apa yang membezakan anda dengan UMNO? Di sinilah saya berfikir mungkin sepatutnya mereka bagi sahaja (peluang untuk bertanding),” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Program Podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Rabu.

Dalam pada itu, ujar Shahril Sufian, budaya Wala’ dalam Pas juga dilihat antara faktor yang mendorong kepada keputusan untuk tidak mempertandingkan lima jawatan tertinggi dalam parti tersebut.

Menurutnya, budaya Wala’ yang serius menyebabkan ramai ahli selesa dengan kepimpinan parti sehingga tidak mahu bertanding dalam lima jawatan utama Pas.

Artikel Berkaitan:

“Saya fikir mungkin itu (budaya Wala’) jawapannya tetapi disebabkan budaya itu dipandang serong oleh sebahagian daripada pengundi yang Pas cuba tangkap, sebab itu perlu mereka mengaturkan pertandingan ini.

“Sebab itu saya rasa mereka terlepas peluang itu. Dan kalau aturkan pertandingan lima jawatan itu, sudah tentu yang asal akan kekal menang juga,” ujarnya.

Pada Jumaat, media melaporkan, tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi Pas iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden pada Muktamar Tahunan Pas ke-69 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden manakala satu daripada empat calon naib presiden telah menarik diri.