Muktamar Pas: Sah tiada pertandingan lima jawatan top 5

Takiyuddin (kiri) ketika sidang akhbar khas di Pejabat Agung Pas di sini pada Jumaat.
Takiyuddin (kiri) ketika sidang akhbar khas di Pejabat Agung Pas di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiada pertandingan bagi lima jawatan tertinggi Pas pada Muktamar Tahunan ke-69 parti itu yang dijadual berlangsung bulan depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, lima jawatan itu ialah presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden.

"Untuk jawatan presiden dan timbalan presiden dan tiga naib presiden hanya ada satu pencalonan iaitu mengekalkan jawatan yang ada (tiada pertandingan).

"Jadi, pertandingan tahun ini hanya melibatkan pemilihan ahli jawatankuasa Pas pusat," katanya pada sidang akhbar khas di Pejabat Agung Pas di sini pada Jumaat.

Muktamar Tahunan Pas ke-69 dijangka dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

Tan Sri Abdul Hadi Awang mengambil alih teraju kepimpinan Pas daripada mantan presiden Allahyarham Datuk Dr Fadzil Noor pada 2002, sekali gus menjadi pemimpin nombor satu paling lama menyandang jawatan berkenaan.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula memegang jawatan nombor dua parti itu sejak 2015.

Tiga jawatan Naib Presiden Pas ketika ini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mengulas mengenai jawatan naib presiden, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, pada asalnya kerusi berkenaan mendapat empat pencalonan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang merupakan calon baharu dinamakan menolaknya.

Muktamar tahunan parti itu menyaksikan 197 kawasan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan memilih 18 individu bagi mengisi kerusi AJK Pas Pusat.