Muktamar Pas: Jawatan Presiden, Timbalan tidak dicabar - Sanusi

Sanusi
Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjangkakan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas tidak akan dicabar dalam Muktamar Tahunan Pas yang akan diadakan bulan depan.

Beliau percaya tiada individu atau ahli Pas yang tampil mencabar Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berikutan kedua-dua tokoh itu masih relevan menerajui parti.

Menurut beliau, Pas tidak pernah mengenakan sekatan untuk sesiapa bertanding dua jawatan tertinggi parti itu, namun difahamkan sehingga kini tiada calon tampil merebut jawatan tersebut.

“Dalam Pas, bebas bertanding, tak pernah ada halangan atau larangan. Siapa nak bertanding boleh tetapi tak ada orang tampil bertanding (jawatan Presiden dan Timbalan).

“Kalau tak ada yang nak bertanding, tak bolehlah paksa orang suruh bertanding. Orang tak mahu sudahlah. Sebab itu, saya yakin tiada pertandingan buat dua jawatan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Sanusi tegaskan, tiada apa-apa isu membabitkan dua tokoh utama Pas berkenaan dan mendapat sokongan penuh akar umbi.

“Saya tak dengar apa-apa isu, dalam Pas pun tak ada isu. Dalam parti lain ada yang dilarang bertanding sebab mereka yang buat ketetapan bahawa Presiden dan Timbalan tidak dibenar ada pertandingan.

“Dalam Pas tak ada seperti itu, terpulanglah (Pas) bersikap terbuka. Siapa rasa layak, sila tawarkan diri,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, kali terakhir berlaku pertandingan pada 2015, yang menyaksikan Ahmad Awang mencabar Abdul Hadi, manakala Datuk Seri Mohamad Sabu mencabar Tuan Ibrahim, namun tewas.

Artikel Berkaitan:

“Ramai lagi yang kalah bagi jawatan lain waktu itu, sehingga menyebabkan wujudnya Parti Amanah Negara (Amanah),” jelasnya.