Muktamar Pas: Sanusi tolak pencalonan jawatan Naib Presiden Pas

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan menolak pencalonan untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden Pas pada Muktamar Tahunan Pas yang dijadual berlangsung pada 20 Oktober depan.

Beliau berkata, pencalonan tersebut dimaklumkan menerusi surat daripada parti namun menolak untuk bertanding jawatan nombor tiga tertinggi parti itu.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu sebaliknya mengesahkan akan bertanding untuk Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat bagi penggal 2023-2025.

“Saya ada (dapat) pencalonan tetapi saya tolak. Dapat tawaran itu melalui surat yang memaklumkan pencalonan untuk Naib Presiden, namun saya tolak.

“Saya tandakan bertanding Ahli Jawatankuasa Pas Pusat. Sebabnya saya rasa saya patut duduk (jawatan AJK) situ saja,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.

Pada Selasa, penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berpandangan kemungkinan berlaku perubahan melibatkan tiga kerusi bagi jawatan naib presiden dan tidak menolak kemungkinan Muhammad Sanusi antara yang layak menduduki jawatan berkenaan.

Muhammad Sanusi yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah menegaskan belum ‘layak’ untuk memikul tanggung jawab tersebut atas beberapa faktor.

“Itu pandangan mereka, saya tahu diri saya setakat mana. Dalam Pas, kualiti untuk memimpin parti dengan kualiti untuk memimpin sektor lain adalah berbeza. Ciri-cirinya tak sama dan kelayakan pun tak sama.

Artikel Berkaitan:

“Ia berdasarkan merit kelayakan, keupayaan dan kemahiran, bukan kerana politik. Bukan kerana kita pandai melobi jumpa orang, itu tak boleh. Ia juga berdasarkan kepada sesuai atau tak sesuai,” jelasnya.

Menurutnya, itu antara keunikan dalam Pas yang menyaksikan pemimpin yang menerajui parti tidak semestinya menerajui negeri.

“Contoh, jadi calon menang boleh tetapi untuk pimpin Pas perlu ada ciri lain lagi. Sebab itu di Kedah, saya boleh jadi menteri besar tetapi Pesuruhjaya Pas pemimpin lain.

“Pesuruhjaya memimpin parti dan jemaah, miliki kualiti dan ciri-ciri berbeza. Saya tak ada ciri-ciri itu, saya jadi MB bolehlah, tak sama,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada beliau kemungkinan akan bertanding pada penggal berikutnya untuk menimba pengalaman terlebih dahulu, Muhammad Sanusi secara berseloroh berkata, kemungkinan namanya tidak lagi tersenarai berikutan ini merupakan kali kedua menolak pencalonan jawatan Naib Presiden.

“Dua tahun lagi ada ka nak calon saya? Ini kali kedua saya tolak, sekali lagi Insya-ALLAH mereka tak calon dah sebab asyik tolak saja.

“Bukan sebab nak fokus kepada urusan negeri, tak juga cuma saya rasa saya tak padan (layak) nak jadi naib presiden, kalau sebagai AJK padanlah (layak),” jelasnya.