Penduduk tujuh kampung Orang Asli bantah pembalakan di Bukit Galla

Kira-kira 50 Orang Asli membuat bantahan berhubung aktiviti pembalakan di Bukit Galla.
Kira-kira 50 Orang Asli membuat bantahan berhubung aktiviti pembalakan di Bukit Galla.
A
A
A

NILAI - Masyarakat Orang Asli di tujuh kampung yang berada di jajaran Bukit Galla di sini menggesa kerajaan negeri supaya menghentikan dan membatalkan aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

Mereka mendakwa aktiviti yang bermula sejak tahun lalu itu bukan saja menjejaskan sumber air mereka, malah turut menganggu keharmonian kehidupan lebih daripada 1,000 masyarakat Orang Asli di kawasan itu.

Paling terkesan ialah penduduk di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Mahang, Belihoi dan Tekir.

Kira-kira 50 Orang Asli membuat bantahan berhubung aktiviti pembalakan di Bukit Galla.
Kira-kira 50 Orang Asli membuat bantahan berhubung aktiviti pembalakan di Bukit Galla.

Wakil penduduk KOA Sungai Mahang, Panjang Pandak Tah, 63, berkata, mereka telah pun menghantar surat bantahan kepada Menteri Besar dan pihak bertanggungjawab, namun malangnya tiada maklum balas muktamad diberi sehingga hari ini.

"Sebelum ini kami tak begitu ambil peduli tentang aktiviti pembalakan di situ, tetapi apabila kita dapati sumber air di rumah kami jadi keruh dan kotor, baharulah kita fikir perlu lakukan sesuatu.

"Sebenarnya bukan setakat masalah air saja, sumber pencarian penduduk di sini yang kebanyakannya masih bergantung kepada hasil hutan pun turut terjejas," katanya pada sidang media di Balai Raya KOA Sungai Mahang di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Perbezaan kualiti air mineral dengan air di rumah penduduk KOA Sungai Mahang.
Perbezaan kualiti air mineral dengan air di rumah penduduk KOA Sungai Mahang.

Menurutnya, mereka bukannya menolak sepenuhnya sebarang aktiviti pembalakan dilakukan, namun janganlah di lokasi yang menjejaskan kehidupan Orang Asli yang sememangnya tinggal di pinggir hutan.

Ujarnya, mereka membantah bukan semata-mata untuk mencari publisiti murahan sebaliknya mahu permasalahan dihadapi mendapat perhatian sewajarnya.

Ketua Adat KOA Kampung Belihoi, Langkap Kisu, 64, pula berkata, mereka sedih dan kecewa apabila masalah yang diadukan seolah-olah dipandang sebelah mata oleh pihak berwajib.

"Jangan hanya datang kepada kami apabila waktu pilihan raya saja dan apabila sudah menang nasib kami tidak dipedulikan langsung.

"Kita dah buat aduan juga kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli tapi diam saja," katanya.

Selain itu Panglima Hutan KOA Tekir, Juli lanchong, 64, berkata, mereka tidak akan mengadakan sidang media berkenaan sekiranya isu yang ditimbulkan telah mendapat perhatian.

Ujarnya, kawasan hutan bukan sekadar untuk mengaut keuntungan semata-mata, tetapi untuk kehidupan dan kesejahteraan.