14 kawasan catat IPU tidak sihat petang ini, Nilai paling terjejas

Seorang pemuda memakai pelitup muka dan berpayung ketika lalu di kawasan Pusat Pentadbiran Kerajaan di Putrajaya yang diselubungi jerebu disertai hujan renyai pada tinjauan di Presint 5 hari ini. Foto Bernama
Seorang pemuda memakai pelitup muka dan berpayung ketika lalu di kawasan Pusat Pentadbiran Kerajaan di Putrajaya yang diselubungi jerebu disertai hujan renyai pada tinjauan di Presint 5 hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Orang ramai dinasihati agar mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu susulan 14 kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, aktiviti fizikal akan meningkatkan kadar pernafasan menyebabkan lebih banyak partikulat terampai memasuki saluran pernafasan sekali gus meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.

"Sentiasa berada di dalam bangunan dan jika terpaksa berada di luar hadkan masa serta gunakan pelitup muka bersesuaian," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, tingkap perlu ditutup bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah dan bangunan.

"Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan dan banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi badan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya tidak sihat, orang ramai dinasihati agar mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.

"Orang ramai boleh mendapatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu menerusi laman sesawang https://www.infosihat.gov.my/index.php/isu-semasa/51-jerebu," katanya.

Dr Muhammad Radzi turut menggesa orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka dan membiarkan tanah atau premis dimasuki atau diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian akan terus memantau penyakit berkaitan jerebu di klinik sentinel dari semasa ke semasa," katanya.

IPU tidak sihat: Nilai paling terjejas

Sementara itu Bernama melaporkan, Nilai di Negeri Sembilan menjadi kawasan paling terjejas dengan catatan IPU 162.

Laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS) menunjukkan Cheras dan Batu Muda di ibu kota masing-masing merekodkan bacaan 161 dan 137 manakala di Putrajaya 154.

Di Selangor, kawasan paling terjejas ialah Banting dan Shah Alam dengan bacaan masing-masing 155, diikuti Petaling Jaya (154), Johan Setia (149) dan Klang (123).

Di Taiping, Perak, bacaan IPU adalah 109, sementara Negeri Sembilan melibatkan Nilai (162), Seremban (157) dan Port Dickson (154).

Sebanyak 54 lagi kawasan pula berada dalam paras sederhana dengan bacaan 51-100 manakala kawasan lain mencatatkan bacaan IPU baik iaitu kurang daripada 50. - Bernama

Jerebu: Agensi pengurusan bencana diarah bersiap-siaga

Pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana diarah untuk sentiasa bersiap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara sedang berhadapan dengan perubahan cuaca dinamik susulan peralihan monsun.

"Ia telah membawa kepada persekitaran panas dan kering serta mengakibatkan jerebu yang membawa kepada IPU yang tidak sihat di beberapa negeri," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menasihati orang ramai agar sentiasa merujuk kepada maklumat yang terkini dan sahih berhubung keadaan cuaca negara antaranya melalui laman web Jabatan Alam Sekitar di pautan https://apims.doe.gov.my/home.html dan MetMalaysia di pautan www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca.

"Semoga kita semua sentiasa dilindungi dari sebarang musibah yang boleh membawa kepada masalah kesihatan, harta benda dan mengancam nyawa," katanya.