Negeri-negeri di selatan Semenanjung siap sedia hadapi jerebu

Pemandangan bandar raya Kuala Lumpur kelihatan kabur berikutan keadaan jerebu ketika tinjauan lensa Sinar Harian di Taman Tasik Titiwangsa pada Isnin. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pemandangan bandar raya Kuala Lumpur kelihatan kabur berikutan keadaan jerebu ketika tinjauan lensa Sinar Harian di Taman Tasik Titiwangsa pada Isnin. - Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Negeri-negeri selatan di Semenanjung Malaysia sedang bersiap sedia menghadapi jerebu dari selatan Sumatera dalam tempoh tiga hari akan datang.

Menurut laporan The Star, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, berdasarkan imej yang ditangkap oleh satelit Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) pada Ahad mendapati terdapat 119 titik panas di Kalimantan dan 121 di Sumatera.

Ujar beliau, walaupun Malaysia tidak mempunyai kawasan panas yang dilaporkan namun, kepulan asap sederhana hingga tebal daripada gugusan titik panas berterusan di selatan Sumatera dan ia dibawa ke barat laut oleh angin semasa.

“Indeks Pencemaran Udara (IPU) Jabatan Alam Sekitar (JAS) setiap jam menyenaraikan Nilai (Negeri Sembilan) dan Larkin (Johor) sebagai yang paling teruk terjejas. Kedua-duanya merekodkan bacaan IPU 155, diikuti Bukit Rambai (Melaka) pada 153, Cheras (Kuala Lumpur) dan Port Dickson (Negeri Sembilan) pada 152.

“Kawasan lain yang mempunyai kualiti udara tidak sihat, antara 110 dan 114, termasuk Seberang Perai (Pulau Pinang), Banting, bandar raya Melaka dan Batu Pahat (Johor),” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jerebu rentas sempadan telah wujud sejak sekian lama tetapi tiada penyelesaian yang baik dan berkekalan untuk menamatkannya.

Jelas beliau, negara-negara ASEAN perlu mempergiatkan usaha dan mencari penyelesaian kepada isu itu kerana ia satu keperluan untuk meningkatkan kewaspadaan terhadap pembakaran terbuka secara tempatan.

Dalam masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, menasihatkan orang ramai untuk mengehadkan aktiviti luar berikutan peningkatan bacaan IPU di Larkin dan Batu Pahat.

Artikel Berkaitan:

“Hospital dan klinik kesihatan khususnya Hospital Sultanah Aminah bersedia menghadapi penyakit berkaitan jerebu.

“Orang ramai dinasihatkan untuk kurangkan aktiviti luar, minum lebih banyak air dan memakai topeng muka. Bagi mereka yang mempunyai masalah pernafasan, topeng muka khas telah dikeluarkan,” ujarnya.