Jerebu masih seperti biasa, tak berikan kesan - Penduduk

Orang ramai menjalankan aktiviti seperti biasa di sekitar bandar raya Johor Bahru pada Isnin. (Gambar kecil: Junaidi, Mohd Ali dan Mohamad Muneer)
Orang ramai menjalankan aktiviti seperti biasa di sekitar bandar raya Johor Bahru pada Isnin. (Gambar kecil: Junaidi, Mohd Ali dan Mohamad Muneer)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk di bandar raya ini didapati masih menjalankan aktiviti harian seperti biasa meskipun tersenarai antara lokasi yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Johor Bahru pada Isnin mendapati keadaan jerebu bukanlah penghalang mereka menjalankan aktiviti harian seperti keluar bekerja dan makan di gerai atau restoran.

Menurut seorang kakitangan swasta, Junaidi Tuah, 50, keadaan yang agak berjerebu ketika ini disifatkannya tidak begitu teruk.

Malah katanya, sehingga kini tidak ada sebarang laporan mengenai perkara-perkara buruk yang berlaku akibat cuaca berjerebu tersebut.

"Bagi saya, taklah terasa sangat dengan jerebu ni dan dalam sebulan ni pun bagi saya tak lah teruk sangat pun.

"Biasa-biasa sahaja bagi saya. Dulu lagi teruk rasanya... Sebab orang masih boleh keluar rumah, keluar bekerja dan buat aktiviti harian masing-masing," katanya.

Keadaan cuaca yang semakin baik di sekitar Tampoi, berhampiran pusat beli-belah Angsana Mall.
Keadaan cuaca yang semakin baik di sekitar Tampoi, berhampiran pusat beli-belah Angsana Mall.

Untuk rekod, setakat 4 petang Ahad, IPU di Larkin Johor merekodkan bacaan tertinggi dengan 155.

Pendapat itu turut dipersetujui oleh Mohd Ali Matwi, 30, yang menyifatkan keadaan berjerebu masih belum begitu membahayakan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Mohd Ali mengakui bahawa cuaca ketika ini memang agak panas dan menjadikannya cepat berasa dahaga.

"Walaupun sekarang ni masih belum apa-apa lagi (terkawal), tapi saya akui cuaca memang agak panas sekarang.

"Saya pun cepat berasa dahaga sebab tekak terasa kering walaupun tidak melakukan aktiviti harian.

"Apa pun keadaan ketika ini dilihat masih biasa-biasa lagi dan semoga keadaan seperti ini berakhir segera," katanya.

Sementara itu bagi seorang pengusaha restoran di Larkin, Mohamad Muneer Abdul Majeeed berkata, restorannya tetap beroperasi seperti biasa dalam cuaca berjerebu ketika ini.

Malah katanya, rata-rata pelanggan yang berkunjung ke restorannya akan membuat pesanan makan seperti biasa

dan tidak ada berlaku pesanan air 'luar biasa' daripada pelanggan.

"Sekarang ni cuaca pun berjerebu, tapi customer (pelanggan) tetap berkunjung ke restoran saya.

"Walaupun sekarang cuaca agak panas, namun customer masih order air macam biasa, paling tinggi pun dua gelas sahaja untuk seorang... belum ada lagi yang pesan lebih daripada tu," katanya.