Jerebu: Orang ramai sedia pakai pelitup muka

Pemandangan Menara Taming Sari di Banda Hilir berikutan jerebu yang melanda Melaka. (Gambar kecil: Wan Norizan, Muhammad Rashid, Asyraf)
Pemandangan Menara Taming Sari di Banda Hilir berikutan jerebu yang melanda Melaka. (Gambar kecil: Wan Norizan, Muhammad Rashid, Asyraf)
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Orang ramai termasuk pelancong bersedia untuk memakai pelitup muka berikutan kualiti udara merekodkan bacaan tidak sihat di negeri ini.

Pelancong tempatan, Asyraf Adnan, 31, dari Taiping Perak berkata, setakat ini dia melihat keadaan jerebu di Melaka masih terkawal dan belum menyebabkan penglihatan agak terhad.

Menurutnya, sekiranya keadaan jerebu bertambah teruk, dia tiada masalah untuk memakai pelitup muka.

"Setakat ini saya sekeluarga boleh melancong seperti biasa, dan tak ada rasa sakit tekak atau batuk.

"Namun kalau tahap udara semakin teruk mungkin kami akan pakai pelitup muka," katanya.

Peniaga kraftangan, Wan Norizan Wan Hussin, 48, berkata, keadaan jerebu di bandar Melaka seperti di Banda Hilir tidak seteruk di Bukit Rambai namun bersedia menggunakan pelitup muka sekiranya keadaan udara semakin buruk.

Keadaan di Jalan Jonker, di Melaka pada Isnin.
Keadaan di Jalan Jonker, di Melaka pada Isnin.

Menurutnya, penting memakai pelitup muka untuk mengelak sebarang risiko kepada kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini belum ada keperluan nak pakai pelitup muka, tapi kalau keadaan buruk pasti saya tak ada masalah pakai pelitup muka, sebab bimbang pelbagai penyakit disebabkan jerebu," katanya.

Sementara itu pelajar Politeknik Melaka, Muhammad Rashid Muhammad Hafiz Marian, 20, berkata, meskipun Melaka antara negeri yang mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat bagaimanapun tidak sehingga mengganggu pemandangan.

"Penglihatan masih jelas, malah saya setiap hari berulang-alik dari rumah di Klebang ke tempat belajar di Malim tiada sebarang masalah.

"Tapi kalau IPU masih mencatatkan bacaan tertinggi, tak mustahil saya akan pakai pelitup muka dan kurangkan aktiviti luar," katanya.

Sementara itu di SEREMBAN, orang ramai tidak menolak untuk memakai semula pelitup muka apabila IPU terutamanya di kawasan Nilai dan Port Dickson mencatatkan bacaan tidak sihat akibat jerebu.

Peniaga, Mohd Fazli Ramli, 46, berkata, setakat ini keadaan cuaca semasa tidak menghalangnya meneruskan perniagaan di Bandar Baru Nilai susulan ia masih terkawal.

"Pada awalnya saya beranggapan cuaca mendung rupa-rupanya jerebu maka langkah sebaiknya adalah memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga.

"Setakat ini Alhamdulillah kesihatan tidak ada masalah namun saya berharap jerebu ini akan segera berakhir kerana bimbang akan memberi mudarat," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Pengunjung, Zainuddin Ali Anas, 65, pula sudah mula memakai pelitup muka kerana mengambil kira keadaan kesihatannya.

"Saya ada asma sejak berumur 15 tahun, namun setakat ini ia terkawal," katanya dari Putrajaya.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan Nilai dan Port Dickson mencatatkan IPU melebihi 150 serta menunjukkan tahap pencemaran udara tidak sihat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerajaan Negeri Sembilan bersiap siaga mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku peningkatan IPU terutama di dua kawasan di negeri ini yang mencatatkan bacaan tidak sihat akibat jerebu.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ini pihaknya sedang memantau keadaan cuaca sebelum sebarang tindakan susulan dilaksanakan.