Hubungan dua hala Malaysia, New Zealand kini lebih kukuh - Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga dari kanan) dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua dari kiri) berkenan bergambar bersama Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro (tiga dari kiri) dan pasangan Dr Richard Davies (dua dari kanan) pada Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara pada Isnin. Turut kelihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tiga dari kanan) dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (dua dari kiri) berkenan bergambar bersama Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro (tiga dari kiri) dan pasangan Dr Richard Davies (dua dari kanan) pada Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara pada Isnin. Turut kelihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah hubungan dua hala antara Malaysia dan New Zealand kini lebih kukuh, terutamanya kerana kedua-dua negara saling memahami keperluan ekonomi dan sensitiviti masing-masing.

Al-Sultan Abdullah bertitah hubungan kukuh itu terbukti dengan beberapa lawatan oleh pemimpin kedua-dua negara sejak tahun lepas.

"Menteri Luar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia telah melawat New Zealand tahun ini, manakala kami menerima kunjungan Menteri Luar Nanaia Mahuta pada Ogos tahun lepas.

"Pertukaran lawatan ini telah membuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat berkaitan sektor ekonomi dan halal, serta pemerkasaan masyarakat orang Asli.

"Sudah tepat pada masanya kerjasama pelbagai aspek mencapai kejayaan dengan peningkatan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik pada Mei 2023,” titah Al-Sultan Abdullah pada majlis jamuan negara bagi meraikan Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro dan delegasi di Istana Negara di sini pada Isnin.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis jamuan itu.

Yang di-Pertuan Agong bertitah baginda juga berbesar hati mengambil maklum bahawa Malaysia dan New Zealand telah menikmati pertumbuhan kukuh dalam hubungan perdagangan, dan pada 2022 New Zealand kekal sebagai rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di rantau Pasifik.

"Sementara Malaysia pula adalah rakan dagangan ketiga terbesar New Zealand dalam kalangan negara ASEAN,” titah Seri Paduka.

Artikel Berkaitan:

Al-Sultan Abdullah bertitah pada Isnin, hubungan kedua-dua negara merentasi pelbagai sektor, daripada hubungan antara rakyat, bidang pendidikan dan ekonomi.

Sebagai contoh, titah Seri Paduka, New Zealand adalah rakan penting Malaysia dalam pendidikan tinggi, dengan lebih 800 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di New Zealand dalam pelbagai bidang.

"Kami berharap lebih ramai pelajar Malaysia akan diberi peluang untuk belajar di New Zealand,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong juga bertitah bahawa Malaysia mengalu-alukan kedatangan semua pengunjung dari New Zealand.

Seri Paduka bertitah pada 2022, terdapat lebih 15,000 pelancong New Zealand melawat Malaysia dan baginda berharap jumlah itu akan terus meningkat sehingga mencapai tahap pra-COVID yang puratanya kira-kira 56,000 orang setahun.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita atas lawatan Kiro dan delegasinya, yang disifatkan Seri Paduka sebagai tanda persahabatan erat antara kedua-dua negara.

"Semoga lawatan negara ini akan dapat mengeratkan lagi tali persahabatan dan mengukuhkan jalinan hubungan dua hala Malaysia-New Zealand," titah Seri Paduka.

Ini merupakan lawatan sulung Kiro ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara sejak menjawat jawatan Gabenor Jeneral New Zealand pada 21 Oktober 2021.

New Zealand merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Pasifik dengan jumlah dagangan keseluruhan bagi kedua-dua negara setakat Jun 2023 bernilai RM6.32 bilion (AS$1.42 bilion), peningkatan 15.3 peratus berbanding RM5.48 bilion (AS$1.27 bilion) bagi tempoh sama pada 2022. - Bernama