Gabenor Jeneral New Zealand adakan lawatan negara ke Malaysia

Dame Cindy Kiro
Dame Cindy Kiro
A
A
A
SEPANG - Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro tiba di Malaysia bagi memulakan lawatan negara selama empat hari ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kiro diiringi pasangannya Dr Richard Davies dan pegawai kanan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada jam 9.50 pagi dengan menaiki pesawat komersial.

Ketibaan Kiro disambut menteri pengiring Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan diberi sambutan kawalan kehormatan setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai oleh Kapten Nur Zhafran Ahamad.

Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara sejak menjawat jawatan Gabenor Jeneral New Zealand pada 21 Oktober 2021.

Kali terakhir New Zealand mengadakan lawatan peringkat ketua negara ke Malaysia adalah pada 5 hingga 8 Disember 2017 oleh Dame Patsy Reddy.

Lawatan Kiro mencerminkan kepentingan hubungan New Zealand dan Malaysia yang telah lama terjalin dan pelbagai bentuk jalinan kerjasama yang telah ditingkatkan secara rasmi ke tahap Kerjasama Strategik pada Mei lepas.

New Zealand merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di rantau Pasifik dengan jumlah dagangan keseluruhan bagi kedua-dua negara setakat Jun 2023 bernilai RM6.32 bilion (US$1.42 bilion), peningkatan 15.3 peratus berbanding RM5.48 bilion (US$1.27 bilion) bagi tempoh sama pada 2022.

Antara acara kemuncak lawatan adalah istiadat sambutan di Istana Negara diikuti kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong dan majlis santapan.

Kiro juga dijadualkan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Bernama
Artikel Berkaitan: