Pendidikan eratkan hubungan New Zealand dan Malaysia

Kiro (tengah) bersama pelajar-pelajar semasa mengadakan lawatan ke Kolej Yayasan Saad di Ayer Keroh, pada Selasa. - Foto Bernama
Kiro (tengah) bersama pelajar-pelajar semasa mengadakan lawatan ke Kolej Yayasan Saad di Ayer Keroh, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Pendidikan menjadi antara penghubung yang mengeratkan hubungan New Zealand dan Malaysia, kata Gabenor Jeneral New Zealand, Dame Cindy Kiro.

Beliau berkata, hubungan itu bermula pada awal 1940-an apabila tentera New Zealand membantu Malaysia semasa darurat dan kemudiannya Konfrontasi, sebelum pelajar Malaysia mula ke New Zealand di bawah Rancangan Colombo pada awal 1950-an.

"Alumni ini kembali ke Malaysia, memegang jawatan dalam perniagaan, sains, kerajaan dan akademik. Mereka telah banyak menyumbang dalam membina hubungan peribadi antara kedua-dua negara kita," katanya dalam ucapannya semasa majlis makan tengah hari di Kolej Yayasan Saad, Ayer Keroh di sini pada Rabu.

Turut hadir pasangannya Dr Richard Davies; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Pam Dunn; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki; Pengasas Kumpulan Pendidikan KYS, Tan Sri Halim Saad dan Presiden KYS Business School, Datuk Kamaruddin Awang.

Kiro berkata, Malaysia terus menjadi sumber utama pelajar antarabangsa bagi New Zealand termasuk mereka yang mendapat biasiswa kerajaan Malaysia.

Kiro berkata, beliau bukan daripada keluarga kaya dan pendidikan telah mengubah hidupnya serta membuka banyak peluang.

"Pendidikan telah terbukti menjadi batu loncatan penting bagi saya, membuka pintu kepada begitu banyak peluang, dan ingin saya menyatakan bahawa walaupun PhD saya adalah dalam dasar sosial, sarjana saya dalam perniagaan.

"Saya faham ada antara anda mungkin datang dari situasi yang sukar tetapi apa pun latar belakang anda, saya menggalakkan anda memanfaatkan masa anda di sini sepenuhnya,” kata Kiro, yang merupakan orang pertama daripada keluarganya yang melanjutkan pelajaran ke universiti.

Artikel Berkaitan:

Beliau menekankan kepentingan mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua kerajaan, sambil menambah bahawa lawatan oleh profesional akan menjadikan hubungan yang lebih kukuh.

Kiro tiba di Kuala Lumpur pada Ahad untuk lawatan sulungnya ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara selepas memegang jawatan pada 21 Oktober 2021.

Lawatan negara selama empat hari itu atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Bernama