Ambil lauk kayangan, tapi nak harga marhaen

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

BAGI yang selalu membeli makanan masak siap di gerai-gerai atau makan di restoran, pasti menyedari akan kenaikan harga makanan ketika ini.

Rungutan mereka biasanya bertempat dan kita wajar bersimpati dengan mereka yang terpaksa mengeluarkan wang lebih untuk makanan rakyat marhaen seperti nasi ayam atau lauk orang kebanyakan.

Tetapi apabila wujudnya kategori pelanggan yang memberikan gambaran yang salah terhadap isu kos sara hidup, ia seharusnya diperbetulkan.

Contohnya, baru-baru ini Merak Jalanan lihat depan mata seorang pelanggan di restoran yang mengadu harga makanan diambilnya mahal.

Tapi bagi Merak Jalanan, tidak munasabahlah kalau sepinggan nasi dipenuhi lauk sotong dan telur sotong yang diambilnya nak disamakan dengan nasi dan lauk ayam goreng.

Setiap daripada kita sepatutnya sudah memahami makanan laut siap dimasak yang dijual di restoran seperti ketam, udang, sotong serta telur sotong adalah makanan yang mahal.

Ini kerana sotong walaupun pada musimnya, harga yang dibeli daripada pemborong masih tinggi menyebabkan peniaga restoran terpaksa menjual kepada pelanggan dengan harga lebih tinggi.

Di sesetengah restoran mamak misalnya, kategori lauk mewah itu akan diletakkan di bahagian atas sesuai dengan rasa dan taraf lauk itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya poket kita yang tidak berapa nak tebal terutama hadir bersama keluarga yang ramai, usahlah gatal tangan nak memenuhi pinggan nasi dengan lauk-pauk seumpama itu.

Sedarlah diri dengan memilih lauk yang tidak membuatkan kita berpeluh mahu membayar tatkala berdepan dengan juruwang di kaunter bayaran.

Begitulah aturan hidup, jika kita mampu dan berduit ambillah lauk mana yang kita suka. Tetapi jika masih berkira, cukuplah sekadar melihat keindahan masakan lauk-pauk mewah itu.