Perkasakan peranan SPRM

Tan Sri Azam Baki
Tan Sri Azam Baki
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini menjejak usia ke-56 pada 1 Oktober 2023, tidak lagi menoleh ke belakang dan akan terus memberi tumpuan dalam usaha membantu merancak dan meningkatkan semula ekonomi negara.

Sejajar dengan peranannya dalam melaksanakan tugas berlandaskan prinsip keadilan dan undang-undang, maka tidak hairanlah sejak penubuhannya pada 1967, banyak kejayaan telah dicapai bukan sahaja daripada segi operasi malah termasuk aspek pencegahan dan pendidikan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam usaha untuk memperkasakan aspek operasi, pihaknya telah meluaskan skop penyiasatan dengan mempelopori kaedah siasatan jenayah kewangan yang melibatkan salah laku dalam kes kewangan ekonomi negara.

Beliau berkata, ia merupakan teknik terkini digunakan bagi siasatan kes-kes berkaitan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan jumlah kewangan yang banyak dan berskala besar serta berprofil tinggi.

“Kaedah siasatan jenayah kewangan ini bukan sahaja dipelopori SPRM tetapi kita akan mengajak beberapa agensi lain seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila siasatan melibatkan kes besar atau syndicated crime berkaitan kewangan.

“SPRM juga perlu bekerjasama dengan agensi-agensi tempatan atau antarabangsa berkaitan kerana mempunyai kepakaran masing-masing untuk membantu dari setiap sudut siasatan.

“SPRM juga tidak boleh work in silo kerana ia menyebabkan kita hanya fokus kepada satu perkara sahaja dan dengan kerjasama agensi lain yang dinamakan task force ataupun secara berpasukan, mereka boleh membantu daripada segi kepakaran dan undang-undang manakala siasatan diketuai oleh SPRM,” katanya dalam temu bual khas sempena ulang tahun SPRM ke-56.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Beliau berkata, menerusi pelaksanaan kaedah ini, SPRM telah mencatat kejayaan apabila berjaya menumpaskan sindiket penipuan atas talian antarabangsa (scammer) dalam Op Tropicana menerusi kolaborasi bersama agensi tempatan dan luar negara.

Azam turut menjelaskan, sesuai dengan peredaran semasa, kaedah serta pendekatan yang dilaksanakan oleh SPRM juga lebih terkini dan profesional bukan sahaja dalam usaha membanteras rasuah malah mengatasi ketirisan bagi mengembalikan aset juga dana kerajaan.

“Antaranya SPRM telah membentuk satu kaedah penyiasatan yang menjayakan kes berprofil tinggi melibatkan individu berjawatan atau berkedudukan tinggi menggunakan kaedah Siasatan Berasaskan Risikan (Intelligence Based Investigations - IBI).

Selain itu, peranan SPRM semakin mencabar apabila fungsi Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) secara rasmi diserapkan sepenuhnya ke SPRM mulai 18 April 2023 dan kini dikenali sebagai Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN).

Mengenai ulang tahun SPRM ke-56 pada 1 Oktober ini, Azam berkata, pihaknya optimis mahu mencapai negara bebas rasuah bukan sahaja daripada aspek penguatkuasaan atau operasi malah menguatkan jentera pencegahan untuk menutup ruang dan peluang perlakuan rasuah sehingga ke akar umbi.

“Usaha dan tanggungjawab membanteras rasuah tidak harus diletakkan sepenuhnya kepada SPRM tetapi harus mendapat sokongan daripada semua pihak,” katanya.

Sementara itu, antara aktiviti dirancang sempena sambutan ulang tahun ialah pertandingan Mereka Bentuk Setem dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad, pertandingan Lagu Patriotik, majlis bacaan Yassin di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya manakala acara kemuncak sambutan pada 2 Oktober 2023 di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

“Tahun ini buat pertama kali SPRM menghasilkan setem kenang-kenangan yang boleh dibeli di pejabat Pos Malaysia di seluruh negara dan kami telah menerima 80 penyertaan dalam kalangan pegawai dan kakitangan SPRM seluruh negara,” katanya.