SPRM gubal strategi tangani rasuah - Azam

Azam (tengah) bergambar bersama peserta di kalangan VIP dalam Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di Kajang pada Sabtu.
Azam (tengah) bergambar bersama peserta di kalangan VIP dalam Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di Kajang pada Sabtu.
A
A
A

KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menggubal strategi dengan lebih berkesan dalam usaha membanteras isu rasuah dalam negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, visi dan misi SPRM ialah mahu menjadikan negara aman dan bebas rasuah.

"Jadi, SPRM sebagai agensi yang mencegah rasuah di negara ini mempunyai strategi dan kita akan gubal lagi strategi dengan lebih berkesan dengan cara dan teknologi yang baharu supaya rasuah ini dapat dimaksimumkan penguatkuasaannya di negara ini dengan pencegahan yang lebih impak.

"Antara strategi kita ialah mengurangkan ketirisan dan kita akan memfokuskan kes-kes yang menyebabkan kehilangan dana dan wang kepada negara selain kes berskala besar," katanya kepada pemberita selepas Program Menembak SPRM Bersama Media di Lapang Sasar Maktab Penjara Malaysia di sini pada Sabtu.

Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sasaran utama SPRM ketika ini adalah melaksanakan siasatan dan pencegahan berkesan dan pada masa sama meningkatkan keyakinan masyarakat dalam usaha kerajaan menangani rasuah.

SPRM juga akan memberi tumpuan kepada kes berskala besar bagi menyelamatkan wang rakyat dan tidak lagi sekadar tertumpu kes kecil atau membabitkan golongan 'ikan bilis' semata-mata.

Mengulas mengenai anjuran program sempena Ulang Tahun SPRM Ke-56 itu, beliau berkata, ini merupakan acara tahunan yang diadakan setiap tahun.

Katanya, 1 Oktober adalah genap usia SPRM ke-56.

Artikel Berkaitan:

Dalam program itu, seramai 50 petugas media termasuk pempengaruh serta orang kenamaan (VIP) hadir memeriahkan program terbabit.

Program itu dilengkapkan dengan acara kemahiran menembak secara individu serta jatuhan piring berkumpulan.