REE Kedah: Dakwa atau tidak, diketahui tiga minggu lagi

Azam (kiri) menyampaikan hadiah kemenangan kepada seorang pengamal media yang menjuarai ketegori ketepatan individu semasa penganjuran program menembak SPRM bersama media 2023 sempena ulang tahun SPRM ke-56 di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, Selangor pada Sabtu.
Azam (kiri) menyampaikan hadiah kemenangan kepada seorang pengamal media yang menjuarai ketegori ketepatan individu semasa penganjuran program menembak SPRM bersama media 2023 sempena ulang tahun SPRM ke-56 di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, Selangor pada Sabtu.
A
A
A

KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatan berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes berprofil tinggi itu juga telah dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk kajian dan tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, keputusan berhubung kes itu dijangka akan diumumkan dalam tempoh terdekat sama ada untuk membuat pertuduhan atau sebaliknya.

"Saya menjangkakan DPP akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat berhubung kes REE ini.

"Keputusan menuduh atau tidak mungkin akan dilakukan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi,," katanya dalam sidang akhbar pada Sabtu.

Beliau berkata pada program menembak SPRM bersama media 2023 sempena ulang tahun SPRM ke-56 di Maktab Penjara Malaysia, dekat sini.

Sebelum ini, Azam menjelaskan SPRM berjaya mendapat maklumat atau petunjuk baharu berhubung kes REE dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menerusi petunjuk baharu itu, pihak SPRM akan meneliti dan menyiasat maklumat diterima bagi menyokong siasatan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Azam menegaskan, SPRM memberi jaminan akan melakukan siasatan sekiranya berlaku ketirisan atau ada unsur rasuah dalam isu pembekalan beras negara.

Kata beliau, jika terdapat unsur rasuah dalam isu beras di pasaran negara, perkara itu akan diteliti sepenuhnya sebelum tindakan selanjutnya diambil.

"Saya memberi jaminan sekiranya terdapat pihak yang terbabit dalam unsur-unsur rasuah dalam pembekalan beras, kita akan mengambil tindakan," ujarnya.

Bagaimanapun katanya, SPRM sehingga ini masih tidak menerima sebarang laporan berhubung salah laku dan unsur rasuah berkaitan isu tersebut.