Johor harap projek HSA 2 dibentang pada Belanjawan 2024

Tian Soon mencuba fasiliti gim di Wellness Hub, HSA pada Jumaat. - Foto Bernama
Tian Soon mencuba fasiliti gim di Wellness Hub, HSA pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor berharap agar projek pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2), tersenarai pada Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 13 Oktober ini.

Menurut Exco Kesihatan dan Perpaduan Negeri, Ling Tian Soon, perkara itu penting dan kerajaan perlu memberikan fokus utama terhadap pembinaan hospital baharu itu pada tahun hadapan.

“Pembinaan HSA 2 ini memang menjadi keutamaan kita dan telah pun dibawa ke peringkat KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“Malah, kita dimaklumkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) juga telah bersetuju untuk memberikan sebahagian tanah di Skudai bagi tujuan pembinaan hospital baharu berkenaan.

"Oleh itu, jika semua perancangan berjalan lancar, kita akan bawa perkara ini kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ) dan mudah-mudahan mendapat pertimbangan Perdana Menteri untuk disenaraikan dalam Belanjawan 2024 nanti," katanya kepada pemberita.

Tian Soon berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Wellness Month Peringkat Negeri Johor 2023 di Wellness Hub HAS, di sini pada Jumaat.

Untuk rekod, pembinaan HSA 2 akan melibatkan 28 hektar daripada kira-kira 200 hektar keluasan tanah di Skudai.

Sementara itu, Tian Soon berkata, pembinaan parkir bertingkat di HAS dapat disegerakan dalam usaha menangani masalah kesesakan yang sering berlaku di situ.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebagai hospital yang terbesar di Johor, tahap kesesakan di kawasan berkenaan juga dilihat paling kritikal.

“Kita semua memang berharap agar berharap pembinaan parkir bertingkat di HSA ini dapat disegerakan bagi mengatasi masalah kesesakan.

“Sebelum ini pun, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk kerja-kerja menaik taraf perkhidmatan di HAS dan ini termasuklah termasuk tempat letak kenderaan bertingkat.

“Jadi, diharapkan agar pembinaan itu dapat disegerakan," katanya.