Belanjawan 2024: Kesihatan, pendidikan terima peruntukan besar - PM

Anwar berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perubatan MADANI dan Program MADANI Afiat Peringkat Kebangsaan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru pada Ahad. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Pelancaran Skim Perubatan MADANI dan Program MADANI Afiat Peringkat Kebangsaan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sektor kesihatan akan terus menjadi keutamaan dan menerima peruntukan besar di dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seperti mana Belanjawan 2023, sektor kesihatan bersama pendidikan mendapat peruntukan terbesar berbanding kementerian lain dan perkara itu akan diteruskan.

Menurutnya, tumpuan akan diberikan terhadap usaha membina dan menyiapkan klinik kesihatan, klinik desa serta mengatasi kesesakan di hospital-hospital kerajaan.

"Saya nak tentukan dalam Belanjawan Madani kedua bulan ini, isu kesihatan terutama klinik-klinik ini diberi keutamaan termasuk hospital. Kebanyakan hospital kita sesak.

"Jadi ada orang kritik kita, sejak jadi kerajaan, Anwar jadi Perdana Menteri hospital sesak. (Sedangkan) Memang sesak bertahun dah, tetapi kerana tindakan itu tidak pantas dan peruntukan tidak cukup maka sampailah masalah begitu rumit sehingga sekarang ini.

"Jadi saya telah pastikan dan perbincangan dengan jemaah menteri dan juga pegawai di Kementerian Kewangan bahawa fokus kita (di dalam Belanjawan 2024) juga kekal tentang kemudahan kesihatan," katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Skim Perubatan Madani dan Program Madani Afiat Peringkat Kebangsaan 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh mengenai rasionalisasi subsidi yang akan dilaksanakan kerajaan bagi memastikan kewangan negara tidak terbeban.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil penjimatan menerusi rasionalisasi subsidi tersebut boleh digunakan untuk pelbagai tujuan serta manfaat rakyat termasuk untuk perbelanjaan kesihatan.

"Kalau kita umpamanya perkenalkan satu sistem naik sikit (harga) supaya kita kurang penggunaan gula dan hasilnya bila kita naik sikit kita dapat RM1 bilion atau RM500 juta. Jumlah itu kerajaan jangan ambil, bagi kepada projek-projek kesihatan dan rawatan pesakit diabetes.

"Jadi ibu bapa, saudara mara kita yang ada penyakit kencing manis kena buat insulin, itu semua akan dibantu daripada wang ini. Itu pendekatan kita. Saya cuma nak fikirkan kaedah subsidi ini kadang-kadang tak munasabah," katanya.

Beliau berkata, subsidi memang wajar diteruskan walaupun Malaysia dianggap sebagai antara negara paling tinggi di dunia memberikan subsidi.

Bagaimanapun rasionalisasi subsidi perlu dilaksanakan bagi memastikan tiada warga asing dan golongan berpendapatan tinggi menerima bantuan daripada kerajaan itu.