Keadaan jerebu sebabkan pemandangan kabur di Johor Bahru

Keadaan di sekitar bandar raya Johor Bahru pada Ahad yang dilanda jerebu. Tambak Johor hampir 'hilang' akibat jerebu yang melanda. Gambar kecil: MUHAMMAD FAUZAN, MUHAMMAD IMRAN
Keadaan di sekitar bandar raya Johor Bahru pada Ahad yang dilanda jerebu. Tambak Johor hampir 'hilang' akibat jerebu yang melanda. Gambar kecil: MUHAMMAD FAUZAN, MUHAMMAD IMRAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suasana berkabus atau jerebu menyebabkan beberapa bangunan di sekitar Johor Bahru kelihatan sedikit kelam walaupun disinari matahari yang panas terik.

Begitu juga keadaan di Tambak Johor yang menghubungkan antara Malaysia dan Singapura, hampir 'hilang' akibat jerebu yang berlaku pada sebelah pagi.

Sementara itu di Larkin yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, keadaannya juga berkabus dan agak panas.

Pelajar kolej, Muhammad Imran Dandan, 20, berkata, keadaan IPU tidak sihat dicatatkan di Larkin diketahui selepas membaca di media sosial berhubung jerebu yang kini melanda negara.

"Bimbang dengan keadaan jerebu kerana keadaan udara tidak sihat boleh jejaskan kesihatan," katanya ketika ditemui pada Ahad.

Bagi, Muhammad Fauzan Mohd Marbat, 21, pula berkata, jerebu di Larkin dapat dilihat dengan keadaan sekeliling yang mula berkabus.

"Jerebu boleh menjejaskan kesihatan, tindakan memakai pelitup muka antara yang boleh dilakukan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff ketika dihubungi berkata, bacaan kualiti udara tidak sihat mula ditunjukkan sejak tengah malam Sabtu berdasarkan bacaan stesen pengawasan kualiti udara automatik di Larkin.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ini berterusan dan sehingga jam 12 tengah hari ini dengan bacaan IPU di Larkin mencatatkan kualiti udara tidak sihat apabila ia mencecah bacaan156 sejak pagi Ahad.

"Pada jam 8 pagi Ahad pula, stesen di Batu Pahat telah mula menunjukkan bacaan kualiti udara tidak sihat iaitu 102 dan masih berstatus tidak sihat sehingga petang ini," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Jelasnya, JAS akan memantau secara rapi dan berterusan kualiti udara di Johor dan akan memaklumkan keadaan ini dari masa ke semasa.

"Orang awam digalakkan untuk memuat turun aplikasi MyIPU bagi mendapatkan maklumat status kualiti udara secara setiap jam dengan trendnya sekali," ujarnya.